• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Pemimpin Politik Perlu Bersatu Demi Masa Depan Negara

MARANG, 21 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menasihatkan pemimpin parti melayu agar bersatu hati dan terus berusaha mewujudkan kerjasama  dalam berpolitik demi menyelamatkan masa hadapan negara melebihi kepentingan peribadi.

Katanya walaupun UMNO beranggapan hubungan dengan PAS sudah nyawa-nyawa ikan, namun Muafakat Nasional akan terus diperjuangkan demi memastikan masa depan umat Islam di negara ini terjamin serta agama terus dipertahankan.

"Apabila berpolitik kita bercakap tentang masa hadapan, sepatutnya yang sudah berusia lanjut dan lama dalam dunia politik tidak boleh ada ego dan sombong. 

"Mengikut pengkaji Sains Politik sejak dari tahun 1969 mana-mana parti politik di Malaysia ini tidak boleh bergerak secara bersendirian ketika pilihan raya, mesti melalui kolaborasi, tengok apa telah jadi apabila adanya perpecahan 65 peratus orang Islam tewas kepada parti diwakili 35 peratus bukan Islam secara dominan.

"Kalau terus bersikap sombong kita akan ulangi kembali apa yang telah terjadi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ketika negara dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH)," ujarnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS  berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program 'Rehlah Till Jannah' . di Perkampungan Darul Barakah , di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Jelas Idris, walau apa jua anggapan dikeluarkan segelintir pemimpin parti, PAS akan terus berpegang teguh kepada prinsip berteraskan Islam untuk menyatukan seluruh parti-parti Melayu Islam.

"KIta tidak akan pandang kiri dan kanan, rakyat yang akan menjadi hakim dalam melihat usaha ke arah kebaikan ini bukan mana-mana pimpinan," tegasnya.