lightning-solid
Berita :
Pemuda Terengganu Buka Rumah Kopi & Nasi Dagang
Pemuda Terengganu Buka Rumah Kopi & Nasi Dagang
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
848

Oleh : Fatimah Din

MARANG, 27 Januari  – Bermula dari dapur ibunya di Pasar Binjai Rendah, kini seorang anak muda Terengganu melangkah berani merealisasikan impian membuka Rumah Kopi & Nasi Dagang, sekali gus mengangkat makanan tradisi negeri ke peringkat yang lebih moden dan berdaya saing.

Usahawan muda, Mohammad Shafiz Adnan, 27, berkata ilham membuka perniagaan tersebut lahir daripada minat mendalam terhadap nasi dagang serta dorongan kuat ibunya yang telah berniaga sejak tahun 2015.

IMG-20260126-WA0025.jpg 53.66 KB

“Ibu saya sudah lama jual nasi dagang, sejak kecil saya melihat sendiri susah payah ibu berniaga, dan dari situlah timbul keinginan untuk meneruskan legasi ini dengan nafas baharu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya, baru-baru ini.

Menurut beliau, idea menggabungkan kopi dan nasi dagang tercetus kerana minatnya yang mendalam terhadap dunia kopi sejak zaman pengajian, selain keinginan untuk mempelajari seni penyediaan kopi secara profesional.

Gabungan dua elemen ini akhirnya melahirkan Rumah Kopi & Nasi Dagang, yang kini beroperasi di Kampung Gelegoh, Pengkalan Berangan dan menjadi tarikan baharu kepada penduduk setempat dan pengunjung luar.

Anak muda lulusan Instrumentation and Control (I&C) dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasir Gudang, Johor itu turut menunjukkan kesungguhan tinggi dalam perniagaannya apabila sanggup melabur membeli mesin kopi bagi memastikan kualiti minuman yang ditawarkan setanding kafe moden.
IMG-20260126-WA0024.jpg 31.62 KB

Terdahulu, Pusat Khidmat DUN Pengkalan Berangan, di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong tampil memberikan sokongan apabila menyampaikan bantuan mesin santan bagi membantu melancarkan operasi perniagaan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan YB atas sumbangan mesin santan ini, bantuan ini amat bermakna dan memberi semangat untuk saya terus maju,” katanya.

Kisah kejayaan ini membuktikan bahawa dengan sokongan keluarga, minat yang mendalam serta bantuan berterusan daripada kerajaan negeri, anak muda mampu mencipta peluang dan mengangkat warisan tempatan ke tahap yang lebih membanggakan.


Tag :

Artikel Berkaitan