• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Penampilan Istimewa Emma Maembong Di Program Apresiasi JM Aziz

Penampilan khas Emma Maembong dalam Bengkel Seni Lukis sempena Program  Malam Apresiasi JM Aziz . Foto Harish Fadzillah Kassim
 
 
Orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat dan mempelajari seni lukisan secara percuma sempena Bengkel Seni Lukis bersama pelukis terkenal negara, Ismail Embong di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, selama dua hari bermula 22 Oktober ini.
 
Bengkel  berkenaan dianjurkan pada Program Malam Apresiasi JM Aziz itu turut menampilkan anak-anak pelukis berkenaan yang juga selebriti popular negara termasuk Emma Maembong dan Chacha Maembong.
 
Penampilan istimewa Emma atau nama sebenar Fatimah Ismail bersama adik-beradiknya yang lain bermula pada jam 2 hingga 4 petang, untuk bersama-sama menunjukkan bakat melukis bersama bapanya. 
 
Ismail berkata, Bengkel Seni Lukis kali pertama di Terengganu di tempat terbuka itu dibuka kepada orang ramai, berbanding sebelum ini tertumpu kepada kumpulan tertentu seperti penuntut universiti, kakitangan agensi kerajaan dan swasta serta pelajar sekolah sahaja.
 
Ismail Embong
Katanya, orang ramai terutama masyarakat setempat sewajarnya merebut peluang itu  untuk mengenali secara mendalam apa erti seni lukis, jenis-jenis lukisan, kaedah betul ketika melukis, penghayatan, pengolahan dan penampilan imej serta subjek.
 
“Saya dibantu Emma akan menjayakan bengkel seni lukis itu dengan membawa lebih 20 karya seni dalam pelbagai jenis serta saiz.
 
“Pihak lain yang turut terlibat ahli Persatuan Pelukis Terengganu di mana setiap ahli akan mempamer dan mempersembahkan hasil karya masing-masing,” katanya ketika ditemui Teganukita, di Warisan Sari, Laman Santai Gamelan, Tok Jembal, semalam.
 
Malam Apresiasi JM Aziz turut menjanjikan pelbagai aktiviti menarik lain seperti pementasan teater, sajak, puisi dan lakonan berkaitan kisah hidup penyair terkenal tanah air, Allahyarham J.M. Aziz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Abdul Rahman.
 

Aktiviti sampingan lain, sukan pemotoran yang dikelola Persatuan Permotoran Terengganu.


Tag: