• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penantian Peniaga Selama 30 Tahun Berakhir

BESUT, 31 Januari - Penantian hampir 30 tahun bagi peniaga pasar sementara di bandar Jertih kini berakhir selepas premis kekal siap untuk beroperasi.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, premis di Jertih Square itu mampu menyediakan 142 premis ruang niaga.

"Kita berharap agar pembangunan ini dapat menyelesaikan masalah peniaga yang terpaksa berpindah-randah di bangunan sementara sebelum ini.

"Beberapa lagi kemudahan lain dalam proses untuk disiapkan, seperti Jertih Trade Centre yang terbengkalai sebelum ini dan pasar basah yang akan menempatkan baki peniaga," katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Dataran Jertih Square dan Sambutan Ulang Tahun Majlis Daerah Besut ke-41 di sini semalam.

Tambah Dr. Samsuri, potensi yang besar akan dapat dicapai dengan adanya pelbagai kemudahan seperti Jertih Square, Jertih Trade Centre, Jertih Souq, pasar basah dan sebagainya.

"Bagi pembinaan terminal bas Jertih, ia masih dalam status perundingan dengan pihak Kerajaan Pusat agar dapat dimasukkan sebagai 'notice of change' dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

"Sekiranya tidak berjaya, kita akan berusaha agar ia dapat dimasukkan sebagai Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.

"Kita berharap agar semua pembangunan ini dapat dilaksanakan mengikut perancangannya sekali gus mampu menggerakkan ekonomi dan sosial rakyat Terengganu, khususnya rakyat di Besut," ujarnya.


Tag: