Jalur Gemilang
Berita :
Penemuan Mayat Bayi: EXCO Gesa Pendekatan Menyeluruh
Penemuan Mayat Bayi: EXCO Gesa Pendekatan Menyeluruh
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
158

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Penemuan mayat bayi di Hulu Terengganu semalam perlu menjadi peringatan kepada semua pihak untuk lebih peka terhadap isu sosial dan krisis kekeluargaan, kata Maliaman Kassim.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata, tragedi berkenaan tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan perhatian serius.

Menurutnya, usaha pencegahan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi menangani faktor yang berpotensi menyumbang kepada kejadian seumpamanya.

“Usaha mencegah kejadian seumpama ini memerlukan pendekatan menyeluruh melalui pendidikan, sokongan keluarga, bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling kepada mereka yang memerlukan.

“Ia sudah pasti melibatkan semua agensi berkaitan kemasyarakatan,” katanya kepada pemberita.

Maliaman turut mengingatkan semua pihak agar lebih peka terhadap gejala pergaulan bebas yang boleh membawa kepada kehamilan tidak dirancang.

Beliau berkata, tragedi itu juga perlu menjadi ruang untuk bermuhasabah serta memperkukuh kerjasama antara keluarga, masyarakat dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan setiap insan terpelihara.

Dalam pada itu, Maliaman menyatakan keyakinan penuh terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

Katanya, keprihatinan masyarakat dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan isu sosial yang boleh membawa kepada tragedi seumpama itu ditangani secara berkesan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan