• 30 Nov 2022 | 6 Jamadil Awal 1444

Penggerak Popularkan Kembali Laluan Mat Kilau

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Persatuan Penggerak Rekreasi Terengganu (Penggerak) bakal menghidupkan kembali laluan asal Mat Kilau, dari Kampung Bantal di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang ke Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun.

Pengerusi Penggerak, Syed Mohd. Yasni Syed Yassin berkata, ekspedisi itu juga dapat membantu kerajaan Terengganu dan Pahang merancang  pembangunan dan  nilai tambah eko pelancongan negeri masing-masing. 

Katanya, ia juga dapat membantu serta meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat melalui penyediaan pakej laluan sebagai pemain industri pelancongan tempatan.

“Saya difahamkan aktiviti rekreasi mendaki gunung, menjelajah denai hutan dan menyusuri sungai yang mencabar semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. 

“Justeru itu, langkah kerajaan untuk memulihara semula tinggalan sejarah ini sangat tepat kerana ia juga adalah destinasi flora dan fauna yang unik untuk pencinta alam semula jadi di negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Syed Mohd Yasni berkata, Penggerak juga telah mengadakan satu ekspedisi laluan Jejak Mat Kilau itu bersama sekumpulan peminat sukan lasak dan ekstrem dari Terengganu dan Pahang, baru-baru ini.

Menurut beliau, ekspedisi laluan asal Mat Kilau mencabar ketahanan mental dan fizikal peserta melibatkan jarak sejauh kira-kira 70 kilometer dan perjalanan mengambil masa selama dua hari.

“Ekspedisi hari pertama dimulakan dari Kampung Bantal dengan menaiki bot selama tiga jam ke Kuala Lurut, kemudian berjalan kaki mengharungi beberapa sungai yang mengambil masa empat jam sebelum sampai ke tapak perkhemahan di Pokok Durian untuk bermalam.

“Hari kedua pula, peserta ekspedisi melalui denai hutan dan laluan haiwan rimba untuk menuju ke beberapa checkpoint iaitu Sungai Kemala, Bukit, Pecah Pinggang, Bukit Mandi Angin, Lata Keling dan Lata Kundang sebelum dibawa menaiki kereta pacuan empat roda untuk tiba ke Pasir Raja,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata  Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pahang untuk mengetengahkan laluan Mat Kilau sebagai produk pelancongan dua hala antara dua negeri.

Katanya, jika direalisasikan, ia mampu  membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu.