• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Pengundi 18 Tahun Mesti Ambil Tahu Politik' - Abdul Hadi Awang

Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Foto - Media Presiden PAS
MARANG, 12 Julai - Pengundi berumur 18 tahun mesti mengambil tahu dan memahami politik supaya kuasa politik tidak terlepas ke tangan parti dan pemimpin yang tidak sepatutnya menerajui negara.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, ramai di kalangan orang Islam yang tidak ambil tahu politik dan menganggap sama sahaja siapa pun yang memerintah negara.

Dengan sebab itu katanya, orang bukan Islam  berkuasa memerintah negara milik majoriti umat Islam.

"Ada yang mendakwa orang Islam perlu duduk di masjid mengerjakan sembahyang sahaja, tidak perlu ambil tahu hal politik.

"Akhirnya berlakulah seperti negara China, orang komunis berkuasa dan tidak membenarkan orang Islam pergi sembahyang di masjid, bahkan tidak benar sembahyang, bagaimana nak buat?" soalnya.

Katanya, ini semua diajar oleh penjajah barat supaya orang Islam menjauhkan diri dari dunia politik agar mereka mudah menguasai negara-negara orang Islam.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Katanya, PAS, UMNO dan sebuah parti politik di Sabah menyokong cadangan Kerajaan Pusat itu sekiranya pendaftaran pengundi dibuat secara automatik.

"Kami menentang cadangan itu sekiranya pengundi berumur 18 tahun tidak didaftar secara automatik.

"Bagaimanapun kami penyokong pindaan undang-undang tersebut kerana Kerajaan Persekutuan setuju pengundi berdaftar secara automatik setelah berumur 18 tahun," ujarnya lagi.

Tag: