• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pengusaha Nasi Bajet Disaran Mohon Lesen Perniagaan


Mohd Jidin menyampaikan replika cek kepada wakil bagi kategori masjid pada Majlis Penyampaian Anugerah PBT Cemerlang 2016, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail

Kerajaan negeri berharap pengusaha `nasi bajet’, khususnya di kawasan Majlis Bandaraya Kuala  Terengganu (MBKT) memohon lesen perniagaan bagi memudahkan pihak berkaitan membuat pemantauan dari aspek kebersihan serta keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata  umum mengetahui setiap perniagaan yang dijalankan memerlukan lesen sebagaimana kepada peniaga kedai makan lain serta perlu menjalani suntikan kesihatan bagi menjamin tahap kualiti makanan yang dijual.

Katanya, pengusaha nasi itu tidak perlu bimbang dengan proses itu berikutan kadar lesen yang akan dikenakan sangat rendah atau bersesuaian dengan jenis perniagaan yang dijalankan mereka.

“Langkah tersebut perlu ekoran percambahan gerai perniagaan makanan harga rendah itu semakin ketara sehingga berselerak di mana sahaja.

“Gerai-gerai yang wujud dalam keadaan tidak terurus boleh menimbulkan masalah dari segi penempatan, lalu-lintas dan aspek kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah PBT Cemerlang 2016, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama Datuk Bandar MBKT, Mohd Zulkifli Abu Bakar.

Pada majlis sama, Mambong Ismail, 80, dari Kampung Masjid Batu Rakit, berjaya memperoleh Proton Saga Iswara 1.3 dalam sesi cabutan bertuah cukai taksiran.  

Mohd Jidin berkata, jika mendaftar, sekurang-kurangnya peniaga juga memperolehi pelbagai manfaat lain, termasuk bantuan perniagaan, pengetahuan penjagaan kebersihan, sekali  gus mampu mengelak pencemaran makanan.

Sementara itu, Mohd Zulkifli berkata, pihaknya menerima peruntukan hampir  RM200,000 untuk menceriakan kawasan MBKT terutama di kawasan tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Terenggannu 2017.

Katanya, kerja-kerja memasang lampu dan memperindahkan landskap di Taman Awam Batu Buruk, Pantai Teluk Ketapang, Pulau Warisan dan persekitaran pusat bandar kini giat dijalankan.

“Penjagaan kebersihan tandas turut dipergiatkan dengan menyasarkan lebih banyak tandas-tandas mendapat penarafan lima bintang,”katanya      

Tag: