• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Penternak Ikan Air Tawar ‘Berputih Mata’

Haji Ahmad Amzad (tiga dari kiri) dan Ustaz Wan Sukairi (tiga dari kanan) melihat sendiri ikan mati dalm sangkar di Kampung Pulau Musang.

KUALA TERENGGANU, 9 September – Dipercayai pertembungan pertama kali berlaku antara air laut dan air sungai di Kampung Pulau Musang mengakibat penternak ikan air tawar di  sungai kampung tersebut kerugian kira-kira RM30,000 satu sangkar.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata ini kerana semua ikan dalam lima sangkar milik penternak tersebut mati dipercayai akibat kejadian fenomena alam itu.

“Ia melibatkan ikan baung, patin, terubuk dan talapia untuk edaran tempatan dan luar Terengganu, musnah semuanya dan pengusaha ikan dalam sangkar berkenaan hanya berputih mata melihat kemusnahan berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim telah dimaklumkan kejadian tersebut dan Jabatan Pertanian serta Jabatan Perikanan Negeri akan mengambil tindakan selanjutnya bagi membantu pengusaha ikan dalam sangkar berkenaan.
Ikan baung mati dalam sangkar di sungai Kampung Pulau Musang.

"Kami telah berhubung dengan Dr Azman Ibrahim, Exco Pertanian Terengganu yang telah memanjangkan kepada Pengarah Pertanian dan Pengarah Perikanan Terengganu untuk tindakan susulan," ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah turut melawat sangkar berkenaan.

Sementara itu Haji Ahmad Amzad turut menyelaraskan kerja membantu mangsa ribut membabitkan 260 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.
Haji Amzad turut membantu dan menyelaraskan kerja-kerja membaiki rumah yang rosak akibat ribut melanda DUN Wakaf Mempelam baru-baru ini.

Ini termasuk kerja-kerja berkait dengan pemasangan atap rumah dan memotong pokok tumbang dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Masjid Lama Sungai Rengas dan Jabatan Amal.

Tag: