• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SETIU, 11 Februari - Tiada ungkapan yang dapat digambarkan kepada lima penternak ikan sangkar yang kerugian puluhan ribu akibat kematian hasil ternakan.

Hasil ternakan berkenaan yang sepatutnya mula dipasarkan pada isnin didapati mati awal pagi semalam dan berlarutan sehingga hari ini.

Nazalani Nawi, 50 salah seorang daripada lima penternak ikan siakap putih berkenaan berkata, beliau reda dengan keadaan yang berlaku dan sudah menjadi lumrah bagi seorang penternak ikan sangkar yang sentiasa berhadapan dengan risiko kematian.

"Saya menganggarkan kematian ikan milik saya ni lebih satu tan dan saiz ikan ini menjadi rebutan di pasaran luar.

"Ikan ni sudah melebihi satu kilogram setiap seekor dan permintaan daripada tauke-tauke memang banyak."

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sangkar ikan miliknya di Kampung Gong Batu.

Beliau yang lebih 20 tahun terlibat dengan penternakan ikan sangkar di sini bersama lebih 50 orang penternak yang lain dengan ternakan pelbagai spesis.

Menurutnya lagi, faktor utama kematian ikan ternakannya adalah berpunca daripada kekurangan oksigen dalam air yang tidak mampu untuk ikan siakap putih ini bertahan bagi satu tempoh masa.

Dalam pada itu Pengerusi JPKK  Gong Batu, Aziz Muhammad berkata pihaknya telah ambil maklum mengenai apa yang berlaku tersebut. 

"Dimana perkara ini akan dirujuk kepada Jabatan Perikanan dan akan diadukan segera kepada pihak berkaitan termasuk akan cuba memohon bantuan dengan Ahli Palimen Setiu.

"Supaya nasib penternak ini akan terbela dan dengan inisiatif yang akan ditentukan nanti akan dapat meringankan beban yang mereka hadapi," ujarnya.