• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Penyatuan Ummah Mula Bersinar

Hishamuddin (kiri) mengalukan kehadiran Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham (kanan) ke Majlis Hari Raya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini hari ini menjadi medan pertemuan dan cetusan kemesraan antara kepimpinan PAS dan UMNO negeri sekali gus menampakkan penyatuan ummah mula bersinar.

Pertemuan di majlis itu menyerlahkan hubungan sebagai rakan politik dengan niat dan hasrat mengembalikan semula kuasa Melayu Islam sebagai teraju kerajaan di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Masing-masing bertekad mencapai cita-cita murni itu dengan memulakan langkah membina hubungan dan sering bertemu jika ada kesempatan berbuat demikian seperti di majlis berkenaan.

Dijangka ada langkah-langkah progresif akan diambil kedua-dua belah pihak untuk merealisasikan hasrat murni itu.

Kira-kira 15 ribu tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan parti hadir di majlis tersebut.

Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ibni Sultan Ismail antara tetamu kehormat turut hadir memeriahkan majlis tersebut.

Antara tetamu kehormat lain yang turut hadir ialah Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Abd Rahman serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali dan isteri, Hajah Zarani Othman.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman  Yahya dan bekas Pegawai-pegawai Kanan Terengganu.

Ia diikuti oleh beberapa orang pemimpin tertinggi UMNO Terengganu termasuk Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan  Ustaz Ramli Noh.

Mereka disambut mesra oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Husain Awang dan semua kepimpinan parti negeri itu.

Tag: