• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Penyertaan Bersatu Kukuhkan Muafakat Politik

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN) diyakini mampu memperkukuhkan persefahaman politik sekali gus menghasilkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan MN yang menerima penyertaan Bersatu adalah petanda positif dan sangat dialu-alukan semua pihak.

“Saya ada baca satu kajian yang mengatakan bahawa peratusan rakyat yang bersetuju dan mahu tiga parti ini iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bergabung adalah tinggi.

“Alhamdulillah, saya juga sangat teruja dengan perkembangan semasa ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Manis FM dan Bernama Radio di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menegaskan, situasi terkini politik itu akan dipastikan bergerak dengan jaya termasuk penerimaan di peringkat akar umbi.

Katanya, peranan pimpinan setiap parti dalam memberi penjelasan sangat penting bagi merealisasikan hasrat dan matlamat MN.

“Sudah menjadi adat, perkara baharu ini biasalah, ia memerlukan sedikit masa sebelum ia mampu difahami dan dilaksanakan dengan sempurna di peringkat sana.

“Samalah macam anak-anak kita pergi sekolah, hari, minggu dan bulan pertama masih belum dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam persekitaran baharu, selepas beberapa tempoh barulah semuanya akan serasi.

“MN benda baharu, jadi mereka memerlukan sedikit masa untuk mereka membuat ubah suai kefahaman dan cara bertindak dalam masyarakat,” tambah beliau.