KUALA TERENGGANU, 3 September- Kemunculan seekor penyu belimbing yang mendarat dan bertelur di pantai Marang pada 1 September lepas mencetuskan persoalan sama ada spesies yang pernah mencatat lebih 10,000 sarang setahun di Terengganu itu masih mempunyai populasi pembiakan di negeri berkenaan.
Ketua Pusat Konservasi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr. Mohd Uzair Rusli berkata penemuan satu sarang itu amat signifikan memandangkan pendaratan penyu belimbing di Terengganu kini amat jarang berlaku berbanding beberapa dekad lalu.
Beliau berkata kemunculan itu juga tidak semestinya menunjukkan populasi penyu belimbing Terengganu telah pulih, sebaliknya boleh menjadi petunjuk bahawa beberapa individu daripada populasi asal atau populasi serantau masih menggunakan pantai negeri itu untuk bertelur.
“Persoalannya, adakah penyu ini individu yang pernah bertelur di Terengganu pada 2017, daripada kumpulan terakhir yang direkodkan sekitar 2010, atau individu daripada populasi serantau yang mula menggunakan semula pantai Terengganu?
“Kita belum mempunyai bukti untuk menjawab persoalan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Uzair berkata pengalaman Thailand menunjukkan pendaratan penyu belimbing boleh menjadi tidak menentu apabila sesuatu populasi berada pada tahap terlalu rendah, termasuk tempoh lebih lima tahun tanpa rekod pendaratan sebelum aktiviti pembiakan kembali dikesan.
Katanya, keadaan di Vietnam lebih membimbangkan apabila populasi penyu belimbing dianggarkan merosot kira-kira 99 peratus berbanding 1960-an, manakala Papua Barat di Indonesia kekal sebagai kawasan pembiakan utama populasi Western Pacific walaupun turut mengalami kemerosotan lebih 80 peratus.
Beliau berkata kajian genetik serantau yang diterbitkan pada 2025 turut mendapati populasi penyu belimbing Malaysia mempunyai persamaan genetik yang rapat dengan populasi Nicobar, sekali gus menunjukkan kepentingan melihat pemuliharaan spesies itu dalam konteks serantau.
Bagaimanapun, katanya, perhatian utama kini bukan hanya kepada induk yang mendarat di Marang itu, tetapi 44 biji telur yang ditinggalkannya.
“Pada 2017, telur penyu belimbing yang direkodkan di Terengganu semuanya gagal menetas. Jadi, berita ini sebenarnya belum selesai.
“Bab pertama ialah induknya kembali. Bab yang lebih penting ialah sama ada telur ini mampu menghasilkan generasi baharu,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan telur berkenaan menetas akan menjadi petunjuk penting kerana anak yang dihasilkan memerlukan kewujudan induk jantan dalam populasi untuk memastikan pembiakan berlaku.
Mohd Uzair berkata pengalaman Sea Turtle Research Unit (SEATRU-UMT) menunjukkan kadar penetasan penyu belimbing berbeza antara sarang dan terdapat sarang yang gagal menghasilkan anak akibat telur tidak disenyawakan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengganggu penyu berkenaan sekiranya kembali naik bertelur dalam beberapa minggu akan datang.
“Kurangkan gangguan cahaya, kenderaan di pantai dan orang ramai berkumpul. Kadang-kadang bentuk konservasi terbaik ialah mengetahui bila kita perlu membantu dan bila kita perlu berundur untuk memberi ruang kepada alam,” katanya.