• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Perhilitan Rampas Hidupan Liar




Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya merampas hidupan liar bernilai lebih RM50,000 yang disyaki ditangkap sekumpulan lelaki, dalam serbuan berasingan di dua premis kediaman di Kampung Jabi,Besut,Terengganu.

Pengarah Perhilitan, Rahmah Ilias berkata serbuan itu dibuat dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sempena Program 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1 MBEON) pada 14 April 2017.

Katanya,di premis pertama pihaknya telah menemui lapan ekor burung Murai Batu,seekor burung Murai Belanda,seekor burung Helang Bahu Hitam,seekor burung Kunyit Cacat dan dua ekor Ayam Hutan.

"Seramai empat lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 23 hingga 31 tahun yang bekerja di kilang papan berdekatan telah ditangkap di premis tersebut kerana disyaki memiliki hidupan liar tanpa pemilikan yang sah daripada Jabatan Perhilitan.

"Manakala di premis kedua,kami telah menemui sepuluh ekor Landak Raya,seekor memerang,seekor musang,seekor ular sawa Burmese Python dan tiga ekor kura-kura.

"Dan seorang lelaki melayu berusia 36 tahun  yang bekerja sebagai pemandu jentera berat telah ditangkap di premis tersebut,"kata Rahmah kepada pemberita pada  sidang media di Pejabat Perhilitan Hulu Terengganu hari ini.

Menurut Rahmah,kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Kampung Raja untuk siasatan lanjut.



Jelasnya lagi,kes ini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010(Akta 716),seksyen 60(1)(a) menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen yang sah dan apabila disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Dan seksyen 68(1)(a) iaitu menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas dan apabila disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Sebab itu Jabatan Perhilitan ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menyimpan dan memiliki hidupan liar tanpa kebenaran daripada Perhilitan agar berhenti melakukannya serta merta atau menghadapi tindakan undang- undang.

"Jika ada yang berminat untuk memulihara atau menyimpan hiduoan liar,diharapkan agar mematuhi perundangan yang berkuatkuasa dan sila dapatkan lesen terlebih dahulu daripada Jabatan Perhilitan,"katanya.

Tag: