Oleh: Syahida Mohd/Zuhdi Abdullah
KUALA NERUS, 13 Disember – Pemerkasaan wanita dalam pelbagai bidang pekerjaan dilihat mampu menjadi antara solusi penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, wanita merangkumi hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia dan memiliki potensi besar untuk mengisi keperluan tenaga kerja tempatan sekiranya diberi peluang serta latihan yang sewajarnya.
Menurut beliau, pengabaian terhadap potensi golongan wanita akan menyebabkan kekosongan pekerjaan terus diisi oleh warga asing, sekali gus meningkatkan kebergantungan negara terhadap tenaga luar.
“Sekiranya kita mengabaikan 50 peratus tenaga wanita ini, ia merupakan satu kerugian besar kerana keadaan tersebut akan membuka ruang kepada kemasukan warga asing bagi memenuhi keperluan pekerjaan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Program Pembangunan Suri Pemimpin Wanita Terengganu (SERI 2025) yang berlangsung di Ar Riyadah Residence, Gong Badak.
Dalam pada itu, Dr. Alias turut menegaskan bahawa wanita perlu diberi ruang dan keyakinan untuk memainkan peranan dalam kepimpinan serta pengurusan organisasi.
Katanya, potensi kepimpinan wanita perlu digilap melalui latihan, pendedahan dan peluang berterusan agar mereka mampu memimpin sesebuah gerakan atau organisasi dengan lebih berkesan.
Program SERI 2025 merupakan inisiatif yang menghimpunkan wakil wanita daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terpilih di seluruh negeri.
Program tersebut dilaksanakan dalam tiga siri dengan penyertaan seramai 40 orang peserta yang didedahkan kepada aspek kepimpinan, komunikasi serta kemahiran pengurusan melalui perkongsian panel jemputan berpengalaman.