• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Perkeso Bayar RM2.95 Bilion kepada Lebih 500,000 Penerima


Zubir (empat kanan) diiringi Ismail (tiga kiri) dan  pegawai kanan Perkeso menyampaikan Faedah  HUK kepada Mohamad Izan Abd Rashid dari Kampung Tanggol, Kuala Berang, di majlis Malam Penghargaan Perkeso : Media di Duyong Marina Resort, malam tadi. Foto oleh Tengku Mohamad Syamim Tengku Ismail

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar faedah berjumlah RM2.95 bilion kepada lebih 500,000 pencarum dan waris yang layak sehingga 2016.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ismail Abd Mutalib, berkata bayaran faedah jangka pendek dan panjang di seluruh Malaysia itu melibatkan Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), Faedah Hilang Upaya Sementara, Pencen Ilat, Pncen Penakat, Faedah Perubatan, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat.


“Sehingga Oktober tahun lalu, Perkeso juga mencatatkan sejumlah lebih 400,000 majikan aktif dan 6.4 juta pekerja aktif yang berdaftar.Selain itu pertubuhan ini juga membelanjakan sejumlah RM2.4 bilion sehingga tempoh yang sama (Oktober 2016) bagi tujuan bayaran faedah kepada lebih 500,000 penerima.

“Bagi kes kemalangan sehingga Oktober lalu, kemalangan perusahaan dilaporkan sebanyak 29,000 kes, kemalangan melibatkan perjalanan (25,000 kes) dan kemalangan maut (587 kes),”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Malam Penghargaan Perkeso Bersama Media, di Duyong Marina Resort, Pulau Duyong, malam tadi.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Abu Hurairi Abu Yazid, Pengarah Perkeso Negeri, Nora Yaacob dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pe­kerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perkeso, Datuk Azih Muda.


Zubir berkata, Perkeso sangat memudahcara kepada pencarum dan waris menuntut faedah menerusi pelbagai saluran.

“Perkeso sangat membantu dan memudahkan pewaris dan pencarum untuk mendapat tuntutan masing-masing dan membela nasib mereka yang memerlukan,”katanya.

Beliau juga meminta Perkeso menimbangkan untuk membuka cawangan baharu Pejabat Perkeso di Terengganu Utara, bagi kemudahan penduduk yang tinggal di Besut dan Setiu mendapatkan perkhidmatan agensi itu.

Di majlis itu, seramai lima orang menerima caruman berjumlah RM113,000 melibatkan Pencen Penakat (3) dan  Faedah HUK (2).





Tag: