• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Perketatkan Penguatkuasaan Syariah Di Daerah Hulu Terengganu

 

HULU TERENGGANU, 7 September -
Kerajaan negeri melalui pejabat agama daerah akan melaksanakan penguatkuasaan syariah secara menyeluruh dan lebih kerap pada masa akan datang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, ia menjadi harapan pihaknya kerana penekanan nilai Islam juga mestilah diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.

"Penguatkuasaan syariah di daerah ini mestilah diperketatkan pada masa akan datang kerana ini merupakan tanggungjawab yang kita akan jawab di hadapan Allah nanti.

"Salah satu langkah yang telah diambil dalam masa terdekat ialah pelancaran Penguatkuasa Sukarelawan Syariah di daerah ini yang telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abd Rashid pada Ogos lalu dan ia merupakan salah satu langkah kerajaan negeri bagi mencegah kemungkaran yang berlaku di daerah ini,"ujarnya.

Beliau yang turut memegang salah satu portfolio EXCO Kerajaan Negeri Terengganu berkata demikian ketika kunjung hormat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) ke Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, pagi semalam.

Menurut beliau, kunjung hormat ke pejabat agama daerah bertujuan mendapatkan perkembangan dan maklumat secara terus mengenai kerja-kerja dan permasalahan yang berkaitan dengan pejabat agama daerah.

"Saya mengadakan kunjung hormat pada hari ini (semalam) bertujuan untuk mengetahui perkembangan dan penambahbaikan dari sudut syariah selepas kerajaan negeri memerintah selama setengah penggal ini.

"Saya juga ada bertanya mengenai perkembangan masjid di seluruh daerah Hulu Terengganu dan juga ingin mengetahui jika ada apa-apa yang pihak kami boleh bantu. Alhamdulillah, pihak pejabat agama daerah menyambut baik dan rasanya tidak ada masalah untuk kita bekerjasama pada masa akan datang," jelasnya.

Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, YM Engku Omar Amiruddin Engku Ali, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Penguatkuasaan), Mohd Shafie Endut, Ketua Penyelia IMITS Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah, dan Pegawai Khas ADUN Kuala Berang, Mohd Ariff Azlan.