• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Perlu Singkir Pandangan Negatif Terhadap Ibu Tunggal

Zakiah Alias (tengah) berkongsi pandangan dengan ahli mesyuarat.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Ibu tunggal sering dipandang negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah mereka golongan yang hina. Justeru, pandangan dan tanggapan negatif tersebut perlu disingkirkan dari pemikiran masyarakat.

Penolong Penyelia Institus Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Zakiah Alias menyatakan bahawa ibu tunggal perlu kuat dan tabah menjalani kehidupan dalam bermasyarakat.

"Ibu tunggal sendiri perlu bangkit, jangan lagi merasa malu dan merendah diri.

"Buktikan bahawa kamu semua setanding dengan ibu-ibu di luar sana malah lebih baik lagi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media sewaktu Mesyuarat Penubuhan Persatuan Ibu Tunggal di Pusat Khidmat DUN Bukit Besi, kelmarin (20 Ogos).

Menurutnya, melalui penubuhan persatuan itu, pelbagai insiatif dan bantuan bakal diperoleh melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang mewakili kerajaan negeri.

"Nama yang tersenarai utama dalam E-kasih, akan diberi dorongan dan semangat untuk berdikari, malah disediakan kelas jahitan dan anak-anak akan dibantu dari sudut persekolahan.

"Ibu tunggal akan turut berperanan di dalam menyusun atur segala program bersama masyarakat.

"Mereka akan dapat menangani dan menguruskan tekanan permasalahan yang dihadapi," jelasnya.

Zakiah juga turut menyatakan bahawa menjadi ibu tunggal bukan pilihan tetapi telah ditakdirkan oleh Allah di atas segala rahsia kebaikan yang tidak diketahui.

"Kita mengharapkan agar masalah mereka dapat diselesaikan," ujarnya.

Beliau turut berharap supaya hasrat kerajaan negeri ke arah melahirkan masyarakat yang sejahtera  dapat direalisasikan.

Malah akan turut menjadi penyumbang tenaga ke arah mencapai kemajuan.

"Ianya kerana pelbagai bidang yang boleh diceburi oleh ibu muda seperti meniaga, menjahit dan sebagainya," katanya.

Menurut beliau, ibu tunggal yang hadir pada hari ini telah ditapis dan disaring, yang dilihat boleh bergiat aktif mengerakkan persatuan ibu tunggal ini.

"Yang hadir hari ini kesemuanya berumur 35 tahun kebawah yang dipilih dan berpotensi untuk menggerakkan persatuan ini," tambahnya.

Sementara itu,  Penyelia i-MiTS, Khaziman Khalik mengharapkan agar persatuan ini akan berjaya dan tidak menjadikan gelaran sebagai ibu tunggal melemahkan diri, tetapi akan bangkit di meneruskan kehidupan.

"Ibu tunggal berhak untuk mengecap kebahagian dan hidup sempurna.

"Oleh itu, diharapkan dengan penubuhan persatuan ini, ahlinya akan disibukkan dan meningkatkan taraf kehidupan," tegasnya.

Beliau memaklumkan bahawa pertemuan dengan ibu tunggal secara meyeluruh adalah pada 28 Ogos dan dimaklumkan telah mendapat penaja.

Sehingga hari ini, terdapat 700 orang ibu tunggal berdaftar di dalam DUN Bukit Besi sebagaimana data yang dikeluarkan oleh YPK.

Tag: