• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pertukaran Jawatan Peluang Kembang Kerjaya


Oleh : Mohd Syazni Zainudin
Pertukaran penjawat awam menjadi satu cabang kepada perkembangan kerjaya selain memberikan dimensi, perspektif dan semangat baru.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail berkata, dalam meningkatkan produktiviti kerja di samping memberikan peluang kepada pegawai-pegawai untuk mengembangkan bakat sedia ada.
Tambahnya, sebagai sebuah organisasi, perkembangan kerjaya amat penting dalam memastikan pegawai-pegawai kerajaan sentiasa inovatif dan berdaya saing.
“Antara kepentingan perkembangan kerjaya, ianya dapat meningkatkan produktiviti individu. Jika kita lakukan tugas yang sama berulang-ulang, tidak ada pergerakan progresif dalam ‘career ladder’ seseorang.
“Seterusnya hubungan kerajaan dengan penjawat awam. Ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menjaga hubungan dan keterlibatan dengan penjawat awam.
“Ketiga, ianya dapat mewujudkan persaingan sihat di kalangan penjawat awam untuk memastikan peranan organisasi sentiasa relevan dengan keadaan semasa. Sebab itulah pentingnya perlantikan ‘the right person at the right job’,” katanya ketika berucap.
Beliau ditemui pada Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan di Wisma Darul Iman, hari ini.
Wan Nawawi berkata, pegawai perlu menganggap pertukaran sebagai satu peluang untuk tinggalkan legasi.
“Setiap tempat kita ditugaskan, tinggalkan satu legasi. Selain ia menambah keyakinan diri, ia juga merupakan motivasi kepada diri untuk sentiasa jadi lebih baik daripada legasi sebelumnya. Dalam erti kata lain, bukan untuk bertanding siapa lebih hebat, tetapi untuk keuntungan dan kebaikan ramai pihak.
“Adaptasi di tempat baru nanti juga penting. Walaupun baru ditugaskan, tetapi lagaknya seperti sudah setahun berkerja. Hubungan dengan penjawat awam lain perlu dijaga,” katanya.



Tag: