• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Peruntuk RM6 Juta Bina Tiga Pusat Dialisis




Terengganu  memperuntukkan RM6 juta bagi pembinaan tiga pusat dialisis baharu yang dijangka siap tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Mohd Iskandar Jaafar, berkata penempatan pusat rawatan baharu itu melibatkan kawasan Seberang Takir,  Telaga Mengkudu dan Kuala Berang.

Katanya, Terengganu merupakan negeri yang tertinggi dari segi kadar pesakit buah pinggang yang perlukan rawatan terutamanya hospital.

"Kita mempunyai 1,228 pesakit buah pinggang yang dikategori kritikal yang memerlukan rawatan dialisis.

"Kebanyakan pesakit merupakan golongan yang tidak berkemampuan dan kita juga kekurangan pusat dialisis untuk menampung keperluan mereka,"katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia dan Karnival Perubatan 2017 Negeri Terengganu di Dataran Kuala Berang, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, terdapat lapan pusat hemodalisis beroperasi di seluruh Terengganu.

"Tiga daripadanya di bawah seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Kesihatan Negeri.Semoga pertambahan ini akan memberi keselesaan kepada pesakit yang memerlukannya,"kata Mohd Iskandar.

Mohd Iskandar juga berkata, sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan untuk 3,426 pesakit pada tahun lepas dan 60 peratus daripadanya pengidap penyakit buah pinggang.

"Pada tahun ini,kerajaan negeri dah belanjakan lebih daripada RM2 juta sejak Januari hingga April dari Tabung Darul Iman dan tidak mustahil perbelanjaan ini meningkat jika masyarakat tidak menjaga kesihatan mereka.

"Jaga pemakanan,jaga kesihatan dan hargainya kerana ianya satu anugerah yang cukup berharga malah harus berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan yang sediakan program penjagaan kesihatan.

"Saya juga ingin sarankan kepada syarikat berkaitan kerajaan ( GLC) untuk sumbang bagi bina dan tampung kos atau peralatan untuk pusat hemodalisis yang masih kekurangannya,"katanya lagi.

Tag: