• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pesta Buku @ PPAT 2018 Tawar Harga Buku Serendah RM1



Pelbagai judul novel , bahan bacaan termasuk  buku latihan serendah RM1 bakal ditawarkan kepada pengunjung  Pesta Buku @ PPAT 2018 di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

Pesta buku yang dijadualkan berlangsung selama lapan hari bermula 31 Mac itu menjanjikan pelbagai aktiviti menarik semata-mata mahu menarik orang ramai terutama golongan pelajar.

Antaranya persembahan artis cilik Muhammad Irfan Yusmanizam  atau lebih dikenali sebagai Mat ipang, pertandingan teka muka surat buku, persembahan buskers, pertandingan mewarna, demonstrasi masakan dan food truck.

Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed, berkata seramai 61 penerbit buku  terdiri penerbit novel, alat bantuan mengajar dan juga jualan alat tulis akan turut serta pada pesta buku itu.

“Pelbagai bacaan bacaan, novel dan buku latihan menanti pengunjung dengan harga sangat berpatutan.

“Pendekatan ini dapat memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memilih bahan bacaan yang terkini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Program yang bermula dari 9 pagi sehingga 10 malam itu bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.




Tag: