• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pesta Memancing Ikan Bakal Jadi Tarikan Pelancongan Di Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU, 15 Julai - Pesta Memancing Tasik Kenyir bakal mewarnai satu lagi aktiviti pelancongan negeri Terengganu apabila ianya bakal diadakan menjelang musim monsun nanti.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris berkata, pesta tersebut khusus bagi memberi ruang kepada pelancong yang datang ke Tasik Kenyir untuk mencuba peluang ini.

Dato' Razali Idris.

"Kita tahu ikan paling banyak berkumpul di tasik pada bulan Oktober, November dan Disember. Jadi selama tiga bulan itu, kita adakan pesta memancing.

"Oleh itu, untuk menjayakan pesta ini, kita kena ada pakej pelepasan anak ikan setiap Januari dan antara ikan yang bakal dibiakkan ialah ikan baung, ikan kelah serta sebarau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Pembentangan Hasil Bengkel Pembangunan Pelancongan Tasik Kenyir Tahun 2020 Anjuran Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir Dengan Kerjasama Ketengah di Pulau Orkid, Tasik Kenyir semalam.

Dalam pada itu, Razali berkata, untuk masa terdekat pihaknya akan mengadakan pelepasan 500 ribu anak ikan pada 18 Julai ini yang bakal disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

"Untuk perancangan seterusnya, kita merancang untuk melakukan pelepasan sejuta anak ikan pada Januari 2021 di dua lokasi utama Tasik Kenyir iaitu Sungai Leban dan Sungai Pertang.

"Jika perancangan ini berjaya, kita akan wartakan dua kawasan berkenaan sebagai zon memancing sahaja dan menjadi kawasan larangan untuk memukat atau menggunakan bom bagi menangkap ikan," ujar beliau.