Pesta Moreh, Pelita Raya Perlu Kekal dalam Landasan Syariat

KUALA TERENGGANU, 20 April — Dalam mengejar arus pembangunan yang pesat, aspek pemerkasaan syariat Islam tidak boleh diketepikan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.

Beliau merujuk kepada isu pesta moreh dan pelita raya yang tular baru-baru ini dan mendapat perhatian masyarakat.

Menurutnya, fenomena itu menjadi semakin ketara apabila ramai rakyat mengambil peluang berniaga pelbagai juadah popular sepanjang Ramadan lalu, menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.

“Tidak dinafikan aktiviti ini membantu ekonomi rakyat, namun ia perlu dipastikan kekal dalam landasan syariat,” kata Zuraida dalam sidang DUN semalam.

Beliau memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu yang memperketat peraturan, khususnya melibatkan larangan aktiviti hiburan dalam bulan Ramadan, sebagai usaha menjaga adab dan kesucian bulan tersebut.

“Sebarang bentuk persembahan seperti nyanyian, tarian, penggunaan sistem audio kuat serta muzik kontemporari yang mencetuskan suasana lalai adalah tidak dibenarkan. Kita perlu menjaga adab, bukan menyekat kegembiraan,” ujarnya.

Jelas beliau, larangan ini adalah sebahagian daripada gagasan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri, menekankan keseimbangan antara budaya dan ibadah dalam masyarakat.

Zuraida turut menyeru agar semua penganjur pesta moreh dan pelita raya mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa agama, termasuk menjaga adab pergaulan, mengelakkan percampuran bebas lelaki dan wanita serta memberi ruang kepada pengisian rohani seperti tazkirah dan doa.

“Tahniah kepada semua pihak yang berusaha mengawal keadaan ini. Ia mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang berbudaya tinggi dan berlandaskan syariat,” katanya.