Jalur Gemilang
Berita :
Petik Idea Dua Pemikir Dunia, Dr. Sam Kemuka Formula Agihan Lebih Adil
Petik Idea Dua Pemikir Dunia, Dr. Sam Kemuka Formula Agihan Lebih Adil
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
116

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Pengagihan peruntukan sama rata antara negeri belum tentu menjamin keadilan sekiranya jurang kemudahan asas, kemampuan kewangan dan kos pembangunan masing-masing tidak diambil kira.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berpandangan, keadilan dalam pembangunan perlu dinilai berdasarkan sejauh mana peruntukan dapat memenuhi keperluan sebenar rakyat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri yang telus, konsisten dan berasaskan ukuran yang jelas.

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2027, Menteri Besar Terengganu itu mengetengahkan pemikiran John Rawls dan Amartya Sen bagi menghuraikan perbezaan antara pemberian peruntukan yang sama dengan kesan sebenar terhadap kehidupan rakyat.

“Dua negeri mungkin menerima peruntukan yang sama, tetapi setiap satunya mempunyai keupayaan yang berbeza untuk membina infrastruktur, menarik pelaburan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

“Oleh itu, jumlah peruntukan semata-mata tidak memadai untuk menentukan sama ada sesuatu dasar benar-benar adil,” menurut beliau.

Mengulas rujukan kerajaan kepada gagasan Rawls mengenai keadilan sebagai kesaksamaan, Ahmad Samsuri menekankan keperluan menterjemahkan prinsip itu kepada dasar.

Beliau turut membawa pandangan Sen dalam The Idea of Justice bahawa keadilan perlu dinilai berdasarkan keadaan sebenar dan sejauh mana ketidakadilan dapat diperbaiki.

“Jika Rawls mengajak kita membayangkan peraturan yang adil tanpa mengetahui kedudukan kita dalam masyarakat, Sen pula mengingatkan kita supaya menilai kesan sebenar peraturan tersebut terhadap kehidupan manusia,” katanya.

Menurutnya, formula yang dicadangkan perlu mengambil kira empat faktor utama iaitu keperluan kewangan negeri, kemampuan menjana hasil sendiri, jurang infrastruktur serta perbezaan kos pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam.

Jelas beliau, pendekatan itu membolehkan pengagihan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan yang dapat dinilai, sekali gus mengurangkan pergantungan pada budi bicara pentadbiran.

“Melalui pendekatan ini, pengagihan peruntukan dapat dibuat berdasarkan kriteria yang jelas dan bukan semata-mata bergantung pada budi bicara sesebuah pentadbiran,” katanya.

Ahmad Samsuri turut mengambil contoh geran per kapita yang menurutnya tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah penduduk semata-mata.

Ini kerana ujar beliau, kos menyediakan kemudahan asas turut dipengaruhi keluasan kawasan, taburan penduduk dan tahap pembangunan infrastruktur.

Beliau juga membangkitkan keperluan mempertimbangkan prinsip formula yang telus bagi memperkukuh penyamarataan pembangunan antara negeri di Semenanjung, dengan mengambil kira kedudukan undang-undang dan keperluan masing-masing.

“Saya percaya bahawa formula yang jelas, mekanisme semakan berkala dan pelaporan terbuka akan meningkatkan keyakinan negeri terhadap Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan