Berita :
‘Pinjam RM5,000, Bayar RM5,000’ - Terengganu Longgar Syarat Bantu Belia Miliki Motosikal
‘Pinjam RM5,000, Bayar RM5,000’ - Terengganu Longgar Syarat Bantu Belia Miliki Motosikal
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
130

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Terengganu memperkemas Skim Pinjaman Pembelian Motosikal di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi membolehkan lebih ramai rakyat khususnya belia dan golongan B40 memiliki motosikal untuk bekerja, berniaga dan menjana pendapatan.

Skim yang dilaksanakan secara qardul hasan itu memberi peluang kepada pemohon mendapatkan pinjaman tanpa faedah, tanpa caj keuntungan dan tanpa riba.

Mudahnya, jika pemohon meminjam RM5,000, jumlah yang perlu dibayar semula juga RM5,000 mengikut tempoh bayaran yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, beberapa penambahbaikan dilaksanakan termasuk kelonggaran syarat permohonan supaya kemudahan itu lebih mudah diakses rakyat.

Katanya, pemohon kini tidak lagi diwajibkan memiliki lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut beliau, skim itu juga tidak lagi terhad kepada sektor gig semata-mata, sebaliknya dibuka kepada semua jenis pekerjaan.

“Skim ini masih terbuka kepada rakyat Terengganu berumur 18 hingga 40 tahun dan boleh terus berurusan dengan YPU tanpa melalui pejabat DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Himpunan Pemandu dan Driver E-Hailing di Dewan Sivik Bukit Payung, semalam.

Ariffin berkata, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan lima penerima membabitkan keseluruhan 32 DUN di seluruh Terengganu.

Katanya, antara syarat lain yang perlu dipenuhi termasuk pemohon mestilah Bumiputera, bermastautin di Terengganu melebihi 10 tahun, berdaftar sebagai pemilih negeri, memiliki lesen memandu B1, mempunyai penyata bank aktif serta seorang penjamin yang tidak disenarai hitam.

Beliau berkata, tempoh bayaran balik turut dilanjutkan sehingga empat tahun dengan anggaran bayaran sekitar RM100 lebih sebulan.

“Skim ini juga membenarkan pembelian motosikal terpakai, namun jumlah pinjaman kekal maksimum RM5,000.

“Sekiranya harga motosikal melebihi jumlah itu, lebihan perlu ditanggung pemohon,” katanya.

Ariffin berkata, setiap permohonan akan melalui proses penilaian dan siasatan YPU bagi memastikan kemudahan berkenaan diberikan kepada pemohon yang benar-benar layak.

Katanya, pelaksanaan skim itu membuktikan kerajaan negeri bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi membuka laluan kepada anak muda untuk bergerak mencari rezeki sendiri.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh berhubung terus dengan YPU.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan