• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

PKM Baik Pulih Dan Bina Baru Rumah Mangsa Kebakaran

MARANG. 5 Oktober - Ekoran daripada kejadian kebakaran di Kampung Kijing, baru-baru ini, sebuah rumah telah hangus terbakar keseluruhan manakala sebuah rumah lagi rosak di bahagian dinding dan atap akibat tempias daripada bencana itu.

Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah turun membantu menyalurkan bantuan bina baru rumah dan baik pulih rumah yang rosak sejak dari awal bencana itu berlaku.

PKM dan JKM menyerahkan bantuan kepada Ahmad Lotfi, mangsa rumah terbakar

Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sejak dari awal kejadian kebakaran tersebut, pada malam itu juga PKM telah turun bersama-sama Jabatan Bomba Marang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kijing bagi melihat bantuan yang perlu disalurkan kepada mangsa yang terlibat.

"Pada hari seterusnya, PKM telah membawa jabatan-jabatan terbabit, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Marang, dan juga Jurutera Daerah daripada Jabatan Kerja Raya Daerah Marang untuk proses penilaian keselamatan penghuni rumah.

"Mangsa rumah yang hangus terbakar, Ahmad Lotfi Abas telah menerima bantuan bina baru rumah daripada peruntukan bencana Tabung Darul Iman melalui laporan JKM.

Proses penilaian untuk permohonan baik pulih rumah tempias kebakaran

Menurutnya, rumah sewa bersebelahan yang terjejas akibat tempias kebakaran telah menerima bantuan baik pulih dari PKM, setelah proses penilaian keselamatan dan kos peralatan dilakukan.

"Pemilik rumah sewa juga sepatutnya boleh memohon bantuan daripada MAIDAM, tetapi akibat beberapa kekangan yang berlaku, PKM mengambil inisiatif untuk memberi bantuan segera kerana bimbangkan keselamatan penghuni rumah."

"Pada hari selepas kebakaran juga, sedikit bantuan kewangan telah diserahkan kepada mangsa kebakaran, bagi mengurangkan sedikit sebanyak beban yang ditimpa," ucapnya lagi.

Kebakaran yang berlaku pada 27 September itu, dipercayai berlaku akibat litar pintas, walaubagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Turut hadir dan bersama-sama terlibat dalam menyampaikan bantuan adalah Pegawai Kebajikan Daerah Marang, Mardiah Mohamed.

 


Tag: