• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

PKM Batu Rakit Lancar Kelab Berbasikal

 

SETIU, 23 OGOS - Pelancaran Kelab Basikal Batu Rakit kelmarin bukan sahaja mengalakkan amalan gaya hidup sihat malah memperkenalkan garis panduan pemakaian patuh syariah dalam kalangan masyarakat.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, inisiatif penubuhan kelab basikal daripada Pusat Khidmat Masyarakat itu adalah yang pertama pernah diwujudkan.

Menurutnya, kewujudan kelab tersebut boleh dijadikan aspirasi dan contoh kepada PKM lain untuk mengikutinya kerana ia memberi banyak manfaat.

“Penglibatan ahli yang terdiri daripada warga emas, dewasa, remaja dan kanak-kanak bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim tetapi menjadikan badan lebih cergas serta sihat.

 “Dengan adanya kelab basikal ini, ia akan lebih memberi semangat kepada anak muda di Batu Rakit melalui aktiviti berbasikal yang diwujudkan ini.

"Kelab ini telah wujud sejak 3 bulan yang lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan PKP dan ia terdiri daripada belia cawangan Bukit Cempaka, Pasir Puteh, Bukit Nenasi, Maras, Pecah Rotan, Darat Batu Rakit dan sebagainya," katanya.

"Kami yang hampir 70 peserta memulakan kayuhan merdeka dari Dataran Pusat Khidmat Masyarakat Kg Bukit Cempaka dan sampai di lokasi pada jam 10.30 pagi. Aktiviti ini akan kami teruskan di masa akan datang," katanya ketika pelancaran kelab terbabit.

Beliau juga berharap, dengan adanya kelab basikal tersebut, belia di sekitar kawasan berdekatan akan mengambil peluang untuk bersama-sama beriadah sambil menjaga kesihatan di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

"Di antara objektif utama penubuhan kelab basikal ini adalah menggalakkan aktiviti berbasikal di kalangan warga kerja Pusat Khidmat Masyarakat PKM. 

"Selain mengamalkan gaya hidup yg sihat,ianya juga akan menjadi contoh kepada orang awam untuk bersama-sama menggalakkan orang awam berbasikal," tambah beliau.

Program pelancaran Kelab Basikal Batu Rakit ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah sambil diiringi oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnan Abdul Kadir dan Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Razak.


Tag: