• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

PKM Buka Ruang Kolaborasi Dengan Semua Pihak Demi Kepentingan Rakyat

MARANG, 28 Oktober - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)membuka ruang untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat.

Pegawai Khas PKM Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya menyambut baik program agihan sumbangan yang dijalankan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).

"Sebanyak lima buah rumah telah dipilih sebagai penerima bantuan sumbangan keperluan asas melalui ‘YADIM Peduli’ Musaadah COVID-19 di Kampung Rusila hari ini.

"Antara yang dikunjungi adalah mereka yang kurang berkemampuan, sakit dan sebagainya," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebaik sahaja selesai program ziarah bersama YADIM semalam.

Menurutnya lagi, program seperti itu sangat dialu-alukan dan sebagaimana kerjasama yang dilakukan hari ini, akan diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata, walaupun pihaknya bukan satu badan yang menyediakan dana namun mereka telah melancarkan Tabung Dana Infaq untuk perbelanjaan dalam tujuan-tujuan tertentu seperti dakwah, pendidikan dan kebajikan.

"Jika 30 juta penduduk Malaysia berinfaq sebanyak RM1 seorang, maka kami mampu meneruskan kesinambungan dakwah dengan lebih lancar dan dapat membantu lebih ramai insan yang memerlukan.

"Agenda yang lebih besar ini juga adalah bagi memastikan program dakwah islamiah dan islahiah dapat dirasai oleh semua peringkat masyarakat.

"Inilah yang dihasratkan oleh pihak pengurusan YADIM sekarang yang berada di bawah kepimpinan Yang Dipertua Ustaz Nasruddin Hassan.

"Pihak kami juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak, dan boleh menghubungi kami di talian 09-6263888 sekiranya ingin berkerjasama untuk melaksanakan program dakwah di daerah-daerah," tambahnya lagi.


Tag: