lightning-solid
Berita :
PMX Digesa Berlaku Adil, Pulangkan Hak Terengganu
PMX Digesa Berlaku Adil, Pulangkan Hak Terengganu
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
100

KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) digesa untuk bertindak adil dengan memulangkan hak kewangan rakyat Terengganu, termasuk isu bayaran balik kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berjumlah RM1.43 bilion, atau berdepan risiko ditolak oleh rakyat pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa segala saluran rasmi, pentadbiran, rundingan, bahkan perbincangan di peringkat tertinggi perundangan telah pun digunakan oleh kerajaan negeri, namun tuntutan hak berkenaan masih menemui jalan buntu.

Menurut beliau, keengganan Putrajaya dalam menyelesaikan tuntutan-tuntutan ini seolah-olah menafikan hak mutlak pembangunan dan ekonomi yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh rakyat di negeri Pantai Timur itu.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu menyatakan kekesalan yang mendalam terhadap maklum balas sedia ada, menyifatkan bahawa saluran rundingan rasmi kini sudah berada di peringkat tepu.

“Mohon sudah, mesyuarat sudah, hantar surat sudah, bawa dalam Parlimen sudah, bincang sudah, masuk medsos sudah, masuk Dewan Undangan Negeri pun sudah, maka apa lagi yang perlu dibuat?"katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Azman menegaskan sekiranya hak-hak Terengganu terus dinafikan atas dasar faktor politik, pertukaran tampuk kepimpinan di Putrajaya merupakan satu-satunya jalan mutakhir yang berbaki bagi mengembalikan keadilan ekonomi wilayah.

“Bila kamu tak nak bagi juga hak Terengganu maka satu-satu pilihan yang ada ialah kamu mesti turun atau diturunkan! Biar orang lain pula duduk di Putrajaya. Pemimpin perlu berlaku adil. Makna keadilan ialah mengembalikan hak kepada yang berhak,"tegas beliau lagi.

Ketegangan hubungan kewangan antara Terengganu dan Persekutuan ini dilaporkan semakin meruncing ekoran pengesahan jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini, di mana Putrajaya menyatakan isu tuntutan bayaran balik RM1.43 bilion bagi projek LPT2 adalah tidak berbangkit.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berulang kali menjelaskan bahawa dana RM1.43 bilion tersebut merupakan sebahagian kos pembinaan LPT2 yang dahulunya diambil daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang sepatutnya berfungsi sebagai peruntukan khas pembangunan langsung negeri.

Pihak kerajaan negeri menegaskan wujudnya persetujuan serta rekod kertas Kabinet terdahulu yang memperincikan mekanisme bayaran semula jumlah tersebut oleh agensi Persekutuan kepada akaun Terengganu. 

Oleh itu, penolakan mutlak oleh PMX dan Kementerian Kewangan disifatkan sebagai pelonggaran janji pentadbiran.


Kerajaan Terengganu menuntut pemulangan dana hutang LPT2 berjumlah RM1.43 Bilion kerana ia disedut daripada tabung DKKP hak negeri. Sebaliknya, PMX mempertahankan bahawa tiada klausa 'bayar balik' dalam undang-undang akaun amanah DKKP kerana lebuh raya itu dibina di atas tanah Terengganu dan memberi manfaat langsung kepada infrastruktur rakyat setempat.


Isu sekatan royalti minyak pula, pihak Terengganu mendakwa Putrajaya menukar format pembayaran. Dana tidak lagi disalurkan secara pukal dua kali setahun (Mac dan September), sebaliknya dibayar secara ansuran bulanan (sekitar RM50 juta sebulan) yang tertakluk kepada kawalan ketat Kementerian Kewangan secara mengikut kes, sekaligus mengganggu aliran tunai pembangunan negeri. 

PMX menafikan ini sekatan politik, sebaliknya mendakwa ia adalah kawalan ketelusan agar peruntukan terus sampai kepada agenda pembasmian kemiskinan rakyat bawah.

Rentetan daripada sekatan aliran tunai royalti petroleum dan penolakan bayaran balik LPT2 tersebut, kepimpinan negeri melihat perancangan bajet tahunan serta program penstrukturan ekonomi rakyat Terengganu terpaksa berhadapan kekangan yang kritikal.

Dr.Azman memberi amaran bahawa tindakan mempertahankan hak ini bukan lagi sekadar retorik politik di dewan persidangan, sebaliknya penegasan prinsip keadilan sejagat yang menuntut Putrajaya meletakkan hak kewangan negeri pada tempatnya tanpa sebarang kompromi.


Tag :

Artikel Berkaitan