• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang

KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai gabungan itu tidak bermaksud mereka bermusuh.

Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mempunyai alasan tertentu apabila membuat tindakan tersebut.

"Saya tidak mahu sebut sebab-sebanya itu, kerana ia akan menyentuh parti-parti lain, tetapi sudah tentu ada hujan-hujah tertentu kenapa tidak diterima.

"Bukan bermakna (kita) hendak bergaduh atau berseteru dengan parti-parti ini tetapi sebab-sebab yang berkait dengan (strategi) pilihan raya dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off  kepada 141 imam dan bilal di negeri ini, di bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, keputusan itu juga tidak bermakna pintu rundingan ditutup sampai bila-bila, sebaliknya perbincangan di masa akan datang boleh dipertimbangkan kembali.

"Saya rasa lebih baik bertanya kepada Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) untuk memberikan jawapan yang lebih baik (kenapa menolak Pejuang).

"Kita (buat keputusan) bersama dalam mesyuarat, tidak membuat kenyataan yang berbeza di luar mesyuarat melibatkan seluruh kepimpinan PN,"ujarnya lagi.