KUALA TERENGGANU, 23 Ogos — Politik merupakan sebahagian daripada syariat Islam dan tidak boleh dilihat hanya sebagai urusan pentadbiran atau persaingan antara parti, sebaliknya turut berkait dengan aspek akidah dan akhlak.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, masyarakat perlu memahami politik Islam secara menyeluruh merangkumi aspek kepimpinan, keadilan, amanah serta kebajikan rakyat.
Menurutnya, syariat Islam merangkumi akidah, syariat dan akhlak, manakala politik turut termasuk dalam cabang syariat Islam.
“Yang pertamanya, kita perlu menyedari bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam. Syariat Islam ni luas dalam konteks akidah, syariat, dan akhlak.
“Dan Islam meletakkan aspek politik sebahagian daripada aspek syariat Islam dalam ilmu cabang politik Islam. Namun begitu, ia mempunyai kaitan dengan akidah Islam. Kerana itulah kita perlu melihat secara menyeluruh, jangan melihat dari aspek-aspek yang tertentu saja.
“Tanggungjawab kita pada hari ini adalah untuk memperkenalkan politik Islam kepada masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam,” jelasnya.

Tambahnya, kefahaman mengenai politik Islam perlu diperkenalkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam supaya prinsip kepimpinan serta hak rakyat dapat difahami dengan lebih jelas.
Katanya, antara asas politik Islam ialah kepimpinan yang berteraskan keadilan, amanah dan kebajikan, selain menjamin hak masyarakat bukan Islam.
“Dan juga dalam politik Islam, dinyatakan hak-hak orang bukan Islam. Mereka diberikan hak-hak untuk apa ni memberikan pandangan, hak untuk berniaga, hak untuk menerima bantuan daripada kerajaan, dan lain-lain lagi.
“Menunjukkan kepada kita bahawa politik Islam ni sebenarnya sangat luas,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan politik dalam Islam tidak seharusnya disempitkan seperti pendekatan Barat yang memisahkan politik daripada agama kerana politik juga mempunyai kaitan dengan soal dosa dan pahala.
Menurutnya, politik boleh menjadi salah satu ruang memperoleh pahala sekiranya dilaksanakan berdasarkan prinsip Islam, khususnya apabila seseorang pemimpin menegakkan keadilan dan menunaikan amanah kepada rakyat.
Ujarnya lagi, perkara itu selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW mengenai tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat, termasuk pemimpin yang adil.
“Maknanya pemimpin yang berpolitik mengikut politik Islam, yang menyebarkan keadilan kepada rakyat, memberikan kebajikan kepada rakyat, tidak menipu, tidak berbohong, menunaikan amanah dan jujur dalam pentadbiran,” tambah beliau.