Berita :
PPS Uzur, Kritikal Diberi Keutamaan Baik Pulih Segera
PPS Uzur, Kritikal Diberi Keutamaan Baik Pulih Segera
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 23 April – Kerajaan negeri akan memberi tumpuan khusus kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang uzur dan kritikal bagi memastikan kemudahan itu sentiasa berada dalam keadaan selamat, kondusif dan selesa kepada rakyat yang terjejas ketika musim banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, permohonan peruntukan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dibuat secara konsisten setiap tahun bagi melaksanakan kerja pembaikan dan penyelenggaraan PPS di seluruh negeri berdasarkan keutamaan yang dikemukakan oleh Pejabat Daerah.

“Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada PPS yang berada dalam keadaan uzur dan kritikal untuk dibaik pulih serta dinaik taraf dengan kadar segera.

“Langkah ini adalah penting bagi menjamin keselamatan, keselesaan serta kebajikan mangsa sepanjang tempoh penempatan di PPS,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu sempena Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi menangani masalah banjir di Setiu, Hanafiah berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengambil pendekatan bersepadu yang merangkumi langkah jangka pendek dan jangka panjang.

Katanya, sebagai langkah strategik jangka panjang, pihak JPS akan mengemukakan permohonan untuk melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi Daerah Setiu.

“Sebagai langkah strategik jangka panjang, pihak JPS akan mengemukakan permohonan untuk melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi Daerah Setiu, Negeri Terengganu.

“Di samping itu, pihak JPS juga akan meneruskan langkah-langkah jangka pendek seperti kerja penyelenggaraan berkala sungai dan saliran, termasuk pembersihan, pendalaman serta pengurusan aliran air, bagi mengurangkan impak banjir sementara menunggu pelaksanaan projek jangka panjang,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan