• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pra Universiti Beri Peluang Kedua


Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini dinasihatkan agar tidak memandang rendah kepada tawaran melanjutkan pelajaran di pra universiti.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pra universiti menjadi peluang kedua kepada pelajar yang tidak memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM untuk tidak tercicir daripada arus pendidikan nasional.

"Kebanyakan pelajar luar bandar apabila memperolehi keputusan tidak cemerlang dalam SPM, mereka tidak akan menyambung pelajaran sama juga kepada yang berjaya tetapi kerana dari segi perbelanjaan jadi mereka merasakan mereka tidak perlu pergi.

"Bagi mengelakkan daripada tercicirnya pelajar-pelajar ini, memang menjadi tradisi untuk Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu untuk memperbanyakkan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar mewujudkan pra universiti.


"Kos untuk Pra Universiti tidak tinggi dan pelajarnya tidak perlu meninggalkan keluarga jadi mereka boleh meneruskan pembelajaran seperti biasa kerana perbelanjaannya tidak banyak disamping biasiswa disediakan kepada pelajar kurang berkemampuan," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin dan Pegawai Pembangunan Dungun, Dato' Din Adam.

Dalam masa yang sama, Ahmad Razif berkata kaedah yang digunakan kepada pelajar pra universiti sudah berbeza daripada yang pernah digunakan dahulu.

"Transformasi telah dilakukan dimana pelajar-pelajar ini tidak perlu mengenakan uniform sekolah.

"Di samping itu, sekarang kita mempunyai satu sekolah Pra Universiti di Hulu Terengganu dengan 100 peratus adalah berkonsepkan universiti," katanya.

Dalam keputusan yang diumumkan hari ini, Terengganu mengekalkan negeri terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 buat kali ketiga berturut-turut.

Terengganu mencatatkan minimum PNGK 2.85 dengan beza 0.14 dari minimum PNGK nasional.


Tag: