• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Premis Perkedaian Baru Sebelah HSNZ Operasi Januari Ini


Medan Selera yang menempatkan 18 unit lot kedai berhampiran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menempatkan pengusaha gerai di laluan pejalan kaki di situ, dijangka dapat memulakan operasi awal Januari ini.

Projek kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu memberi peluang kepada 13 peniaga yang sebelum ini menjalankan perniagaan tanpa lesen dan sering berdepan tindakan kompaun, supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat dan selesa.

Datuk Bandar MBKT, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, pembinaan lot-lot kedai yang lebih tersusun yang dibangunkan pertengahan 2015, dengan kos kira-kira RM3.5 juta telah siap awal November lalu mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Proses pengundian bersama 13 peniaga asal di lorong pejalan kaki berdekatan HSNZ telah dilakukan pada 6 Disember lalu bagi menentukan lot kedai masing-masing.

“Sekarang ini, semua sudah selesai cuma menunggu pemasangan bekalan air serta elektrik oleh pihak berkaitan sebelum diserahkan sepenuhnya kepada peniaga terbabit,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, jika tiada sebarang halangan, semua peniaga dijangka berpindah ke lot kedai baru itu menjelang awal tahun depan dan dapat menjalankan urusniaga jual-beli dengan lebih selesa dan terurus.

Tag: