lightning-solid
Berita :
Premium RM116 Juta Selesai, Projek KTCC Muara Utara Boleh Bermula
Premium RM116 Juta Selesai, Projek KTCC Muara Utara Boleh Bermula
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Muara Utara kini boleh dimulakan selepas premium tanah berjumlah RM116.28 juta bagi keseluruhan parsel strategik itu dilunaskan sepenuhnya.

Bayaran oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) itu membolehkan hak milik tanah diperoleh, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang kerajaan negeri.

Premium tanah bagi tahun 2025 dan 2026 di bawah Borang 5A Kanun Tanah Negara itu diserahkan kepada Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Majlis tersebut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Azmi Mohamad Daham serta Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah LTAWNT.

Menurut kenyataan LTAWNT, pembangunan KTCC Muara Utara dijangka merancakkan kegiatan komersial, menarik pelaburan baharu dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Kejayaan melunaskan keseluruhan komitmen kewangan itu membuktikan keupayaan LTAWNT mengurus aliran tunai dan kewangan secara cekap serta berhemat.

“Ia sekali gus memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan mengikut jadual,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah mengenal pasti beberapa pelabur yang berminat untuk membangunkan kawasan berkenaan.

Peluang masih dibuka kepada pelabur tempatan dan antarabangsa untuk menyertai pembangunan KTCC Muara Utara yang disasarkan sebagai hab pembangunan moden di Terengganu.

LTAWNT berkata pihaknya akan terus menyokong agenda kerajaan negeri menerusi pengurusan aset tanah secara sistematik dan mampan supaya manfaat sosioekonomi pembangunan berkenaan dapat dinikmati rakyat.



Tag :

Artikel Berkaitan