• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Primula Edar 1,000 Jalur Gemilang Di Atas Drawbridge Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Primula Beach Hotel Kuala Terengganu (PBHKT) mengedarkan sebanyak 1,000 Jalur Gemilang kepada orang ramai bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-63, Isnin ini.

Suaibah Harun.

Pengurus Besar PBHKT, Suaibah Harun berkata, program itu adalah acara tahunan hotel berkenaan dan diadakan bagi tujuan menyemai rasa cinta orang ramai khususnya masyarakat negeri ini terhadap negara.

"Saya sedih apabila melihat sambutan hari kelahiran negara ini disambut tidak sebagaimana dilakukan orang terdahulu yang meraikan hari berkenaan dengan penuh semangat patriotik.

"Pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan juga semakin berkurangan, justeru, sebagai menunaikan tanggungjawab itu, hari ini kami mengedarkan 1,000 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di sekitar bandaraya Kuala Terengganu," katanya pada Program Pengagihan Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di atas jambatan angkat atau Terengganu Drawbridge, hari ini.

Katanya, selain pengagihan Jalur Gemilang, pihaknya juga menghiasi persekitaran hotel dengan kibaran bendera bagi menyemarakkan suasana sepanjang bulan kemerdekaan.