• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Projek Bandar Baharu Kuala Ping Berjalan Rancak


Pembangunan Bandar Baharu Kuala Ping berjalan rancak mengikut jadual bagi merealisasikan perancangan sebagai pusat pertumbuhan desa utama di Dewan Undangan Negeri(DUN) Telemong menjelang 2018.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat berkata, bandar baharu berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam termasuk perumahan rumah kos rendah, lot-lot perkedaian, mini stadium dan pelbagai prasarana serba lengkap untuk manfaat masyarakat setempat.

Katanya, bajet untuk pembangunan Bandar Baru Kuala Ping dijangka berjumlah hampir RM100 juta.

“Insya- Allah,  pembangunan bandar sudah pun bermula pada tahun ini dan dijangkakan siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat iaitu awal 2018 untuk kemunculan sebuah bandar baharu yang lengkap untuk kemudahan penduduk di Kuala Ping khususnya bagi Dun Telemong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Makan Malam & Penyampaian Hadiah Pertandingan PDM N21 Telemong di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri turut menyentuh mengenai perancangan pembangunan belia di Terengganu untuk 2017 dengan melaksanakan pelbagai program serta aktiviti seiring dengan kehendak kepimpinan utama negara berasaskan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kita akan bergerak seiring dengan kehendak dan pembangunan kerajaan serta bersedia untuk mengemukakan pandangan ke arah memantapkan TN50 dan saya nampak sambutan terhadap TN50 sangat baik terutama di kalangan belia.

"Saya berharap belia seluruh negeri Terengganu akan menjadi belia yang lebih kompetitif  dan kreatif pada masa akan datang," katanya.

Tag: