• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Projek Kraf Kercut Mampu Tingkat Ekonomi Penduduk

Ustaz Hilmi meninjau hasil produk kraf selepas merasmikan Projek Kraf Kercut di Bengkel Kumpulan Bembangunan Wanita KPW Kampung Beris Tok Ku Permaisuri, di sini, semalam.

Oleh: Ahmad Mawardi


SETIU, 27 Februari - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu akan memastikan  projek kraf kercut sebagai inisiatif membangunkan komuniti setempat terutama melahirkan wanita tani dalam arus pembangunan industri hiliran mampu meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Harun berkata, industri kraf merupakan sebahagian daripada industri kreatif negara yang perlu diambil peluang oleh masyarakat setempat untuk membaiki taraf kehidupan masing-masing.


"Justeru, kerajaan negeri menerusi jabatan dan agensi sebagai peneraju industri kraf negara, diharap agar terus gigih dan konsisten dalam usaha memastikan penglibatan usahawan tempatan menghasilkan produk yang berkualiti dan berdaya saing di pasaran.

"Usaha-usaha pengkomersilan produk kraf ini perlu terus diperkasa dan dimantapkan agar mendapat perhatian pengguna, pembeli serta pelancong dari dalam dan luar negara," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Projek Kraf Kercut di Bengkel Kumpulan Bembangunan Wanita KPW Kampung Beris Tok Ku Permaisuri, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Rosman Roslan.

Hilmi berkata, pelaksanaan program seumpama itu bukan sekadar dapat mengoptimumkan impak dalam memajukan rakyat secara menyeluruh, malah ianya selari dengan hasrat dan strategi kerajaan negeri untuk memperkasakan pembangunan ekonomi di luar bandar.

Beliau yang juga ADUN Manir berkata,  difahamkan sehingga Disember 2018, sebanyak RM74.8 juta nilai jualan produk Industri Asas Tani (IAT) berjaya dicatatkan dengan penglibatan seramai 715 usahawan IAT.

Walaubagaimanapun, menurutnya nilai jualan bagi produk kraf masih jauh ketinggalan berbanding dengan hasil hiliran yang lain.

Tambahnya lagi, penubuhan projek kraf itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada usahawan kraf malah turut memberi limpahan faedah kepada industri lain seperti pelancongan, inap desa, sektor perkhidmatan dan industri hiliran yang lain.

Tag: