• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Projek Lembu Sado Beri Pulangan Lumayan

SETIU, 15 Mac - Usaha kerajaan negeri memperkenalkan Projek Pembangunan Lembu Sado Berkelompok dijangka mampu memberi pulangan kepada penternak di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia apabila daging diperoleh hasil projek terbabit setaraf dengan hotel terkemuka.

"Insya-Allah sekiranya semua pihak berganding bahu, termasuk peserta bijak mengambil peluang ini harga daging sekitar RM500 hingga RM600 dapat dicapai sekali gus memberi pulangan lumayan buat mereka.

“Untuk mencapai piawaian itu, penternak perlu mahir dengan kaedah pemotongan daging, selain perlu menerapkan amalan pengurusan penjagaan ternakan secara sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Projek Pembangunan Lembu Sado Berkelompok peringkat Terengganu, di Dewan Jabi, di sini hari ini.

Dr Azman turut memberitahu, projek lembu sado berkelompok itu memberi impak sangat positif  khususnya kepada 35 sehingga 70 orang penternak lembu sado sedia ada.

“Pada masa sama mewujudkan padang ragut secara terancang yang boleh menyumbang rumput minyak kepada ternakan dengan anggaran 43.92 metrik tan setahun bagi setiap keluasan 1 ekar.

“Untuk tahun kedua, dengan anggaran hanya sebanyak 60 peratus kelahiran anak daripada jumlah induk pengganda mampu menghasilkan 21 ekor anak lembu sado  di mana setiap ekor  yang berusia 12 bulan boleh mencecah harga  RM 8,000 seekor,” katanya.

 


Tag: