lightning-solid
Berita :
Projek Terminal Regasifikasi Kemaman RM3.8 Bilion Tunggu Kelulusan Akhir
Projek Terminal Regasifikasi Kemaman RM3.8 Bilion Tunggu Kelulusan Akhir
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
247

KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Projek LNG Regasification Terminal (RGT) Kemaman bernilai kira-kira RM3.8 bilion kini menunggu kelulusan akhir selepas konsortium yang terlibat memperoleh Licence to Proceed daripada Suruhanjaya Tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata projek yang melibatkan kerjasama pelabur tempatan dan luar negara, termasuk sebuah syarikat dari Jepun itu dijangka memperkukuh ekosistem industri minyak dan gas di Terengganu.

Beliau berkata EPIC turut menyokong pembangunan projek berkenaan melalui penyediaan tanah pembangunan serta kemudahan pelabuhan bagi Terminal Regasifikasi Kemaman (RGTK) di kawasan Pelabuhan Kemaman.

"Penglibatan EPIC dalam penyediaan infrastruktur strategik ini akan membantu mempercepatkan pelaksanaan projek selain meningkatkan keupayaan Pelabuhan Kemaman sebagai hab sokongan industri tenaga negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas majlis pelancaran National Training Week peringkat EPIC di sini.

Menurut Muhtar, projek itu dijangka merancakkan lagi ekosistem tenaga dan industri gas di Kemaman, di samping menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi serta mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negeri.

Katanya, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi menjadikan Kemaman sebagai hab industri tenaga dan logistik strategik di Pantai Timur, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Terengganu sebagai antara peneraju industri minyak dan gas negara.


Tag :

Artikel Berkaitan