• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PRU-14: Agensi Bawah KKMM Perlu Proaktif Main Peranan



Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia(KKMM) menyeru agensi dibawah kementerian itu agar memainkan peranan lebih proaktif sebagai "Frontliners" atau barisan hadapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14.

Timbalan Menterinya,Dato' Jailani Johari berkata agensi-agensi seperti Radio Televisyen Malaysia(RTM),Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas(JASA) perlu pantas dalam menjawab isu-isu dan tohmahan yang tidak berasas daripada pihak lawan pembangkang.

Katanya, peranan agensi-agensi itu menjadi kunci kestabilan politik dan keharmonian negara melalui program-program yang dilaksanakan.

"Sudah tiba masanya untuk kita persiapkan hala tuju ke arah PRU 14,lupakan segala sengketa dan perkukuhkan perpaduan antara kita semua.

"Malah saya juga ingin menyeru agar kita semua tidak terlalu memikirkan siapa yang akan menjadi calon PRU 14 tapi sekarang adalah masa untuk kita semua bekerja sebagai satu pasukan dengan bantuan semua pihak termasuk agensi di bawah KKMM,"kata Jailani.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi(PDM) Peringkat Parlimen di Hotel Regency Waterfront,Kuala Terengganu semalam.



PDM Pulau Bahagia menjadi johan bagi pertandingan peringkat Parlimen membawa pulang sijil dan wang tunai RM4,000.Naib johan di menangi oleh PDM Tok Randok dengan wang tunai RM3,000 dan tempat ketiga dimenangi oleh PDM Nibong yang membawa pulang RM2,000.

Menurut Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu,pertandingan PDM yang diadakan bertujuan menghidup dan menggerakan aktiviti ke arah menghadapi PRU 14 dengan mengumpul data  dan maklumat terkini pilihanraya di peringkat PDM.

"Melalui pertandingan ini,kita dapat bentuk,latih serta nilai keberkesanan,kecekapan serta semangat jentera pilihanraya di peringkat PDM.

"Saya tau bukan mudah untuk urus sebuah PDM kerana kita perlu bersedia dan siapsiaga dengan segala kemungkinan tentang bila PRU 14 akan diadakan tetapi semboyan pilihanraya perlu ditiupkan ke pelusuk negeri dan ke dalam diri setiap jentera,"katanya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk fikirkan apakah kaedah dan jalan terbaik bagi parti untuk memenangi hati dan undi rakyat.

"Saya yakin dan amat percaya sekiranya kita mampu beristiqamah,UMNO akan terus kekal releven dan percayalah UMNO pasti mendapat kemenangan besar dalam PRU 14 nanti.

"Kita perlu ikut peredaran zaman jika tidak, kita akan ketinggalan.Kita perlu ubah cara kerja kita agar bersesuaian dan sentiasa 'up to date' dalam menyerang balas serangan pembangkang dalam memainkan isu-isu tertentu,"kata Jailani lagi.

Tag: