• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PRU14 : Derita Bapa Tunggal Dapat Perhatian


Oleh : Ezzuan Ahmad

Seorang bapa tunggal yang menghidap penyakit kencing manis di tahap kritikal kini mampu tersenyum selepas kediamannya di Kampung Pinang Merah, Paka, yang rosak  sudah dibaiki semula.

Abdul Rahman Mohammad, 62, kini tinggal bersama seorang anak lelakinya di rumah itu yang juga rumah pusaka peninggalan keluarganya sejak 30 tahun dahulu selepas kematian isteri tercinta, Kamisah Zakaria, 45, akibat penyakit barah otak.

Lebih memeritkan lagi, penyakit kencing manis yang dihidapinya telah menyebabkan penglihatannya menjadi kabur dan tidak mampu untuk bekerja untuk mencari rezeki.


Keadaan tersebut menyebabkan dia tidak mampu untuk membaiki kerosakan struktur rumahnya akibat dimakan oleh serangga perosak.

Menurutnya, keadaan rumah kayu yang reput di beberapa bahagian menyebabkan kehidupannya menjadi semakin tidak menentu kerana risau rumah tersebut runtuh.

"Saya tidak boleh membuat kerja berat kerana penyakit saya ini dan hanya mengambil upah membuat kerja-kerja kampung sahaja,"katanya.

Dengan pendapatan sebanyak RM500 sebagai tukang cuci di sebuah masjid, menurutnya adalah mustahil untuk membeli kayu dan papan yang baru bagi membaiki rumahnya itu.

"Duit yang ada hanya cukup untuk membeli barang keperluan harian dan makanan saya dan anak. Setiap hari saya runsing memikirkan keadaan rumah saya ini," katanya.


Tambahnya, wakil rakyat yang telah dilantik (Pas) tidak pernah mengambil berat tentang keadaan diri dan kediamannya.

"Walaupun pejabatnya (wakil rakyat) dekat dengan rumah saya namun sehingga sekarang satu bantuan untuk baiki rumah saya tidak pernah diberikan," katanya.

Simpati dengan keadaan tersebut, calon BN DUN Paka, Tengku Hamzah Tengku Deraman melalui Pejabat Penyelaras UMNO DUN Paka turun membantu membaik pulih kediaman Abdul Rahman.

Menurut Tengku Hamzah, bantuan yang diberikan merupakan bantuan papan dinding dan kayu lantai bagi menggantikan bahagian yang rosak.

"Kita (BN) turun membantu meringankan beban beliau meskipun berada di dalam kubu kuat mereka (Pas) dan ini merupakan satu petanda bahawa rakyat mahukan BN untuk mengubah nasib hidup mereka.

"Kita juga akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memikirkan bantuan yang sepatutnya seperti bantuan elaun bulanan dan bantuan lain yang dirasakan perlu," katanya.

Tag: