• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

PRU14: Pembangkang Guna Langkah Terdesak Tarik Undi


Segala manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijanjikan pembangkang dilihat tidak lebih daripada mainan persepsi dan langkah terdesak untuk menarik sokongan rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Nerus, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, apa yang dijanjikan pembangkang itu belum tentu mampu direalisasikan.

“Apa yang saya nampak ialah memang persepsi adalah sesuatu yang dimainkan oleh mereka yang sebenarnya tidak ada kekuatan.

“Mereka cuba mempengaruhi pengundi-pengundi dengan membuat keputusan berdasarkan emosi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jualan Sentuhan Rakyat yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Dataran Permata, Seberang Takir, hari ini.

Katanya, namun sebaliknya apa yang dijanjikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih realistik dan sudah terbukti hasilnya.

“Apa yang kami (BN) lakukan adalah menyatakan tentang apa yang kami hendak buat maknanya manifesto-manifesto yang kami ketengahkan dan tunjukkan telah terbukti.

“Daripada sejarah yang lepas semua manifesto yang hendak dilakukan berjaya kami laksanakan.

“Sebab selepas ini apabila kita memerintah kita tidak boleh memerintah berdasarkan persepsi tetapi kita memerintah berdasarkan apa yang kita hendak buat,” ujarnya.

Malah katanya, sejak dari awal sehingga ke saat akhir tempoh berkempen, kerajaan BN menggunakan pendekatan berhemah.

Menurutnya lagi, terserah kepada pengundi membuat pilihan kerana mereka dapat menilai kesantunan kerana budi baik itu adalah lebih penting untuk menonjolkan seseorang calon yang boleh diangkat sebagai pemimpin masyarakat.

Tag: