• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PRU15 : Rosol Calon PN Di Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 3 November - Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Rosol Wahid diumumkan calon pertama Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Jelajah Prihatin dan Pelancaran Jentera PN PRU-15 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, malam tadi.

“Saya hendak tengok (Parlimen) Hulu Terengganu diisytiharkan memang (PRU15). Calon yang bertanding tidak lain dan tidak bukan ialah Rosol Wahid untuk Hulu Terengganu. 

“Sepatutnya esok (hari ini) diisytihar (calon-calon PN Terengganu), tetapi kerana dia calon Bersatu, mewakili PN di kawasan Hulu Terengganu. Biar saya isytihar,” katanya. 

Rosol yang juga penyandang kerusi Parlimen akan berhadapan dengan tiga pencabar iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozi Mamat; calon Pakatan Harapan (PH), Alias Ismail dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd. Khadri Abdullah.

Terdahulu, PN Terengganu akan mengumumkan calon yang akan bertanding di lapan kerusi parlimen pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU-15 di Dewan Tok Guru Rusila Marang hari ini.

Daripada jumlah itu, PAS akan bertanding di tujuh kerusi parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Kemaman dan Besut manakala Bersatu akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.

Kesemua calon PN di Terengganu akan menggunakan simbol bulan (PAS).