• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRU15: Saingan Empat Penjuru Di Parlimen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 November- Kerusi Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Perikatan Nasional (PN-PAS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Parlimen Kuala Terengganu adalah Mohamad Abu Bakar Muda (PEJUANG), Datuk Mohd Zubir Embong (BN), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (PH) dan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-PAS).

Sebelum itu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Faris Abd Razak menamatkan proses penamaan calon secara rasmi tepat jam 10 pagi yang berlangsung di Stadium Negeri Terengganu sebelum kesemua senarai calon yang bertanding diumumkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memaklumkan penerimaan borang dari calon PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah yang diterima pada jam 9.05 pagi bersama pihak pencadang dan penyokong.

Manakala calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar Muda menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi.

Selain itu, SPR turut menerima borang pencalonan dari Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-PAS) pada jam 9.13 pagi serta calon parti BN, Datuk Mohd Zubir Embong pada jam 9.19 pagi.

Proses penamaan calon bagi Parlimen Kuala Terengganu kelihatan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini termasuk kawalan rapi pihak berkuasa.