lightning-solid
Berita :
PSST Tasik Kenyir Bakal Jadi Nadi Baru Ekonomi Terengganu
PSST Tasik Kenyir Bakal Jadi Nadi Baru Ekonomi Terengganu
Wan Mohammad Omar Ajmain
4 jam yang lepas
66

HULU TERENGGANU, 26 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu kini sedang memperincikan pelan pembangunan ekonomi strategik di kawasan Projek Sistem Solar Terapung (PSST) Tasik Kenyir yang dijangka akan memberikan impak pertumbuhan ekonomi yang signifikan kepada negeri bagi tempoh jangka panjang.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengarah Primula by The Lake, Dato' Burhanuddin Hilmi bin Mohamed@Harun, dalam majlis Kunjungan Hormat Exco Kerajaan Negeri Terengganu Sempena Perasmian Primula by The Lake yang berlangsung di Loklik Café, hari ini.

Menurut Dato' Burhanuddin, projek yang terletak di laluan pintasan strategik itu akan memulakan operasi bagi aktiviti pemuatan dan pemunggahan (loading/unloading) barangan dalam masa terdekat. 

Beliau menegaskan bahawa fasa pertama projek ini dijangka melibatkan seramai 5,000 orang, sekali gus menjana "economic speed" atau kepantasan ekonomi yang amat tinggi di kawasan tersebut termasuk memberi manfaat kepada Primula by The Lake.

"Selain daripada penyediaan hostel bagi pegawai dan kakitangan, kehadiran jumlah pekerja yang besar ini bakal membuka ruang ekonomi yang luas kepada penduduk setempat, terutamanya dalam sektor perniagaan makanan dan perkhidmatan," jelasnya dalam perkongsian tersebut.

Tambah beliau, selain impak sosial, rundingan bijak telah membuahkan hasil apabila kerajaan negeri berjaya memiliki 30 peratus kepentingan (interest) dalam projek tersebut melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu. 

" Langkah ini dijangka memberikan pulangan berterusan kepada negeri sebanyak RM250 juta bagi tempoh 21 tahun.

" Pembangunan ini bukan sahaja menandakan pembukaan rasmi Primula by The Lake sebagai destinasi hospitaliti baharu, malah menjadi simbol sinergi antara pembangunan hartanah dan pertumbuhan ekonomi strategik di Terengganu," katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini  Ab. Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad  Puteh serta ADUN Telemong, Mohd Zawawi  Ismail.


Artikel Berkaitan