• 15 Jul 2024 | 8 Muharam 1446

'Pulangkan Royalti Minyak, Jangan Aniaya Kami' - Rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Rata-rata rakyat di negeri ini mahu Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menghentikan penganiayaan yang sedang berlaku dengan mengembalikan sepenuhnya royalti minyak Terengganu.

Seorang peniaga, Mohd Shafia Yusof, 56, berkata tindakan menangguhkan bayaran itu bukan satu tindakan bijak tetapi ia menzalimi dan menyusahkan masyarakat Terengganu yang menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri.

Katanya, melalui wang royalti segala kebajikan untuk rakyat seperti i-Belia, i-Fitri, i-Perantau, bantuan kewangan untuk orang kurang upaya (OKU) dan Lesen Memandu Terengganu Sejahtera (LMTS) dapat dilakukan.

"Sebenarnya tindakan melambat-lambatkan wang royalti ini seolah-olah sengaja mahu mencipta persepsi serta pandangan kalangan rakyat bahawa kerajaan negeri tidak mampu menjaga rakyat sedangkan mereka (Kerajan Persekutuan) yang menafikan hak rakyat.

"KIta minta supaya Kerajaan Pusat melunaskan semua hak rakyat yang tertunggak termasuk duit royalti ini," ujarnya ketika ditemui di Pasar Tani, Padang Hiliran, di sini semalam.

Bagi Md Rani Awang, 65, Kerajaan Persekutuan hari ini dilihat terus bermain politik dengan 'membuli' rakyat Terengganu sedangkan mereka juga merupakan warganegara yang sah dan hidup di negara demokrasi.

"KIta minta supaya jangan abaikan orang Terengganu yang majoritinya merupakan Melayu Islam, kerana apabila terus bermain politik menyebabkan hasrat untuk memberikan kebaikan kepada rakyat tidak tercapai.

"Apatah lagi ia akan mengakibatkan orang Terengganu dianaktirikan dan akan menjadi rakyat paling miskin, jangan cuba beri tuba kepada rakyat," ujarnya.

Dalam pada itu, Ramlah Abdullah, 61, berkata rakyat tidak ada masalah untuk terus menyokong pemerintahan kerajaan hari ini ini sekiranya berlaku adil kepada seluruh rakyat.

"Tindakan menangguhkan duit royaliti ini menekan kami, maka kesianlah rakyat Terengganu, pelbagai bantuan tidak dapat disalurkan.

"Harapnya tunaikanlah segala apa yang telah dijanjikan sebelum ini, sekarang ini rakyat melihat bahawa Perdana Menteri hanya pandai berjanji sebagaimana janjinya jika menang hari ini, esok minyak akan turun," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid Awang, 60, berkata perbezaan parti antara kerajaan negeri dan persekutuan tidak sewajarnya dijadikan isu bagi menafikan hak rakyat Terengganu.

"Walaupun berbeza parti kena mempunyai semangat federalisme, kita ini tinggal dalam satu bumbung (negara) jadi kena layan sama rata antara anak sendiri dan anak tiri.

"Kembalikan hak rakyat Terengganu kerana itu merupakan duit Terengganu yang menjadi hak semua orang di negeri ini untuk mendapat kebaikan daripada royalti itu," katanya.

Mohd Shah Abdul Ghani pula berharap Kerajaan Persekutuan memberikan hak itu terus kepada kerajaan negeri ini untuk diuruskan.

"Setahu saya sepatutnya kita menerima RM1.5 bilion, tetapi yang diterima hanya lebih RM600 juta sahaja setakat ini, jadi kita minta supaya disalurkan mengikut jadual demi kebaikan semua pihak," katanya.