lightning-solid
Berita :
Pulau Duyong Berpotensi Dibangunkan Sebagai Destinasi Pelancongan Berasaskan Komuniti
Pulau Duyong Berpotensi Dibangunkan Sebagai Destinasi Pelancongan Berasaskan Komuniti
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
219

Oleh : M Safwan Syakir M Noor

KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Pulau Duyong berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai salah satu produk pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism - CBT) menerusi keunikan warisan pembuatan bot tradisional yang masih dipelihara sehingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr. Zaharudin Zahid berkata, lawatan bersama Pusat Khidmat Masyarakat  Bukit Tunggal ke Pulau Duyong baru-baru ini memberi peluang untuk melihat sendiri potensi produk pelancongan yang terdapat di kawasan berkenaan, khususnya berkaitan warisan pembuatan bot yang pernah menjadi kebanggaan negeri.

Beliau berkata, perkara berkaitan usaha menghidupkan kembali perusahaan pembuatan bot di Pulau Duyong serta menjadikannya sebagai produk edu-tourism negeri turut dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini.

“Kerajaan negeri melihat potensi besar Pulau Duyong untuk diketengahkan sebagai salah satu ikon pelancongan Terengganu, khususnya melalui warisan pembuatan bot yang mempunyai nilai sejarah dan keunikan tersendiri.

“Hari ini kita melihat sendiri usaha yang diteruskan oleh generasi baharu pengusaha bot di Pulau Duyong dalam memastikan seni pembuatan bot tradisional ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Menurut beliau, antara keunikan bot buatan Pulau Duyong ialah teknik pembuatannya yang diwarisi secara turun-temurun dengan menggunakan kemahiran tangan serta kaedah tradisional tanpa bergantung kepada paku dan gam seperti kaedah moden.

Sebaliknya, penyambungan papan dilakukan menggunakan bahan semula jadi seperti kulit pokok gelam yang menjadi antara rahsia ketahanan bot tersebut.

“Kehebatan tukang bot terdahulu bukan sahaja menghasilkan bot yang kukuh dan tahan lama, malah menggunakan teknik pembinaan tradisional yang mempunyai nilai ilmu dan warisan yang tinggi.

“Warisan seperti ini perlu diperkenalkan kepada generasi muda supaya mereka dapat mengenali kepakaran serta kebijaksanaan masyarakat terdahulu,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan Pulau Duyong sebagai destinasi pelancongan tidak hanya tertumpu kepada pembuatan bot baharu, malah boleh merangkumi aktiviti pembaikan bot, pembuatan replika bot, pengalaman pembelajaran warisan maritim serta kisah sejarah Kota Duyong.

Katanya, pendekatan CBT dilihat mampu menggabungkan pelbagai potensi setempat dengan melibatkan masyarakat sebagai penggerak utama industri pelancongan.

“Kita berharap Pulau Duyong dapat menjadi sebuah destinasi yang bukan sahaja menarik pelancong untuk melihat keindahan dan sejarahnya, tetapi turut memberi pengalaman mempelajari sendiri warisan pembuatan bot yang menjadi identiti masyarakat di sini.

“Melalui kerjasama kerajaan, komuniti setempat dan penggiat warisan, Pulau Duyong berpotensi dikembalikan sebagai salah satu lokasi pelancongan warisan yang dikenali di Terengganu dan peringkat lebih luas,” katanya.

Sementara itu, tukang pembuatan bot, Burhanudin Syafie, berkata beliau telah berkecimpung dalam bidang tersebut selama hampir 20 tahun dengan mewarisi kemahiran daripada bapanya, Pok Awi, yang merupakan antara tukang bot tersohor di Pulau Duyong suatu ketika dahulu.

Menurutnya, pelanggan yang mendapatkan khidmat pembinaan dan pembaikan bot bukan sahaja datang dari seluruh negara, malah turut melibatkan pelanggan dari Singapura.

“Kerja ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana setiap proses dilakukan dengan penuh ketelitian. 

Antara jenis kayu yang digunakan ialah kayu cengal dan kayu seraya yang terkenal dengan ketahanan serta kualitinya,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan