• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Pulau Kapas Jadi Destinasi Rehlah Amal Marang

Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad

Marang, 21 Ogos – Inisiatif Jabatan Amal Malaysia (Amal)  cawangan Marang menganjurkan  Program Rehlah di pulau peraginan tersohor, Pulau Kapas, kelmarin  sebagai hadiah kepada 47 ahli  jabatan itu yang telah berkerah tenaga dalam setiap program sebelum ini.

Mereka yang terpilih adalah ahli Amal   dari   Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, DUN Bukit Payong, DUN Pengkalan Berangan dan DUN Alur Limbat.

Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Marang, Mohd Izuha Kamal juga sebagai pengarah program berkata, sememangnya aktiviti rehlah itu merupakan program tahunan untuk meraikan para petugas sambil bersantai menikmati keindahan alam.

"Kita sentiasa mengambil berat dan meraikan para petugas yang banyak memberi sumbangan tenaga dalam membantu memudahkan urusan dalam setiap program yang ada.

“Lokasi kali ini juga tidak memerlukan perjalanan yang jauh untuk peserta dapat bersantai menikmati keindahan alam. Malah dengan mengunjungi destinasi indah, ia secara tidak langsung dapat merehatkan fizikal dan minda mereka." katanya.

Pengisian program santai selama dua hari satu malam itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti membakar ayam, bermain bola, mandi-manda, snorkeling dan mendaki bukit.

Tambah lagi, pada sebelah malam diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pemuda Marang, Mohd Yusuf Abdul Hadi dan Timbalannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin sebagai penyeri program apabila mereka menyampaikan tazkirah dan qiamulai sebagai pengisian rohani kepada para peserta.

Program telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu, Sauji Abd Rasid dan turut serta, Timbalannya, Azmi Aminuddin Ahmad dan para peserta rehlah.

 


Tag: