• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pulau Kapas Jadi Pilihan Destinasi Percutian

MARANG, 25 Oktober - Pulau Kapas yang terletak diperairan Marang, Terengganu menjadi destinasi percutian bagi mereka yang berhasrat untuk mencari ketenangan.

Pulau yang terbentang indah di Laut China Selatan itu mempunyai pelbagai khazanah laut dengan pantainya yang cantik beserta kemudahan rekreasi yang pasti akan menambat hati para pengunjungnya.

Seorang pengunjung yang ditemui di Jeti Marang, Rumayso' Salwani Abdullah, 38, berkata ini merupakan  kali pertama dia menjejak kakinya di pulau berkenaan bersama keluarga.

"Inilah pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana dapat beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan seorganisasi di pulau yang cantik ini.

 

Rumayso' Salwani Abdullah

"Pakej percutian kali ini amatlah berbaloi, tidaklah terlalu mahal dengan prasarana yang disediakan amat memuaskan hati disamping banyak aktiviti sukan air yang ditawarkan.Pantainya yang bersih, ada kemudahan asas seperti tandas, surau, tempat makan dan keselamatan pengunjung ketika berada di air juga dititikberatkan," ujarnya lagi.

Dia bersama keluarga dan rakan-rakannya seramai lima puluh orang berkonvoi dengan kereta daripada Kemaman untuk bercuti di Pulau Kapas sempena Hari Keluarga Ameerah Kijal yang merupakan salah satu organisasi wanita muda yang bernaung dibawah Dewan Muslimat, Parti Islam Semalaysia.

Sebelum itu, mereka telah bermalam di Kampung Tok Adis dengan menyewa rumah tumpangan dan melakukan beberapa aktiviti disana.

"Kepada mereka diluar sana yang ingin bercuti, bolehlah rancang percutian anda dengan datang ke Pulau Kapas bersama keluarga. Pasti tidak menghampakan," ujarnya.